
JPJ SITA 13 KENDERAAN MEWAH, GUNA NOMBOR PENDAFTARAN PALSU
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mendedahkan taktik pemilik kenderaan mewah yang sanggup menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Pengarah JPJ negeri, Mohd Misuari Abdullah bagaimanapun berkata, perbuatan itu berjaya dikesan selepas pihaknya menyita 13 kenderaan mewah bernilai lebih RM4.5 juta sepanjang Op Khas Luxury yang bermula pada 1 Julai lalu.
Menurut beliau, kenderaan yang disita termasuk Toyota Vellfire 2.5 (A), Toyota Alphard, BMW 523i, Ford Mustang Fastback dan Mercedes-Benz E250 CGI.
“Mereka juga berbuat demikian untuk mengelak daripada membayar cukai jalan.

“Sejak operasi ini dilancarkan sehingga Ahad, kami telah mengambil tindakan terhadap 15 kenderaan mewah di mana 13 daripadanya disita untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, JPJ Kelantan turut mengesan pemilik kenderaan mewah menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengelirukan pihak berkuasa dan menyembunyikan kesalahan lain yang dilakukan.
Dalam perkembangan sama, Mohd Misuari memaklumkan terdapat juga kes melibatkan warga asing yang memandu kenderaan mewah tanpa lesen memandu yang sah.
Ujarnya, antara kesalahan lain yang direkodkan ialah melanggar beberapa peraturan termasuk memandu tanpa lesen sah, lesen tamat tempoh atau tiada lesen kenderaan motor langsung. – Sinar Harian
- BACA: CASTROL DAN COVE CIRCUIT PERKENAL KEMPEN TINGKATKAN KESEDARAN PENJAGAAN ENJIN
- BACA: HYUNDAI MOTOR MALAYSIA UMUM KERJASAMA RASMI DENGAN SELANGOR FC UNTUK MUSIM 25/26
- BACA: XPENG P7 SERBA BAHARU TERIMA 10,000 TEMPAHAN DALAM MASA HANYA 6 MINIT 37 SAAT
- BACA: RASMI: YADEA VELAX SKUTER EV TERBARU DI MALAYSIA – HANYA RM4,699 SELEPAS REBAT






