Buletin

JPJ PERLUAS PEMATUHAN TALI PINGGANG KELEDAR BAS IPT, SEKOLAH BERASRAMA PENUH

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperluaskan penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar kepada semua bas milik institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah berasrama penuh.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan untuk melakukan pemeriksaan secara berperingkat bermula Ogos ini.

Katanya, pasukan teknikal JPJ dan penguatkuasaan JPJ negeri akan digerakkan untuk memastikan pemakaian tali pinggang kepada penumpang bas berkenaan.

“Boleh dikatakan semua IPT dan sekolah berasrama penuh mempunyai bas sendiri tetapi kita ingin memastikan bas yang diselenggara sendiri juga mematuhi spesifikasi dan pemandu juga mematuhi peraturan ditetapkan.

“Kita tidak mahu hanya menumpukan kepada bas persiaran dan ekspres sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Aedy Fadly berkata, JPJ tidak teragak-agak menggantung atau membatalkan lesen melalui Program MyLesen B2 jika didapati melakukan kesalahan jalan raya khususnya terbabit dalam kegiatan samseng jalanan atau rempit.

Katanya, langkah itu bertujuan untuk memastikan peserta program menghargai usaha yang dilakukan kerajaan persekutuan untuk memberikan mereka lesen sah.

“Kita tidak mahu peserta yang dipilih apabila mendapat lesen, mereka melakukan aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang seperti merempit.

“Oleh itu, kita sedang meneliti dan memperincikan kaedah sama ada lesen mereka digantung atau dibatalkan apabila ditahan JPJ atau polis dalam kegiatan rempit.

“Sekiranya ingin mendapatkan lesen, mereka kena membuat permohonan seperti orang awam lain,” katanya. – Harian Metro

Google ads
Back to top button