Buletin

KAPAL MEGA GLOBAL DREAM II MUNGKIN DIJUAL SEBAGAI BESI BURUK

Sebuah kapal penumpang mega belum siap, Global Dream II yang dijangka menjadi antara kapal terbesar dunia, akan dijual sebagai besi buruk atau sekerap selepas pemiliknya, syarikat Genting Hong Kong muflis, lapor laman berita RT.

Pentadbiran kebankrapan kini cuba untuk menjual sesetengah sistem dan enjin kapal berkenaan, demikian menurut majalah industri kapal Jerman, An Bord yang memetik kenyataan pentadbir insolvensi, Christoph Morgen. Badan kapal yang belum siap akan dijual sebagai sekerap selepas itu.

Pentadbir insolvensi kini lebih tertumpu kepada ‘kakak’ kapal tersebut, Global Dream yang terkandas di limbungan kapal MV Werften di pesisir rantau Baltik, Jerman.

Limbungan kapal itu muflis awal tahun ini dan diambil alih oleh Sistem Marin ThyssenKrupp. Syarikat itu dijangka menggunakan limbungan tersebut bagi membina kapal tentera laut termasuk kapal selam.

Kapal Global Dream kini 80 peratus siap dan boleh terapung  justeru, ia boleh ditunda  ke mana-mana sahaja di dunia, demikian menurut pentadbiran insolvensi.

Setakat ini, pentadbiran itu gagal mencari pembeli kapal tersebut. Syarikat perkapalan berpangkalan di Sweden, Stena dilaporkan berminat mendapatkan kapal itu tetapi menarik diri pada Mei lalu.

Sekiranya pemilik baharu untuk kapal mega itu gagal dicari, Global Dream mungkin berakhir seperti Global Dream II, demikian menurut An Bord.

Kedua-dua kapal itu dibina untuk menjadi antara kapal terbesar dunia dengan berat sekitar 208,000 tan kasar dan boleh memuatkan lebih 9,000 penumpang. – Agensi 

Google ads
Back to top button