Buletin

PERODUA SAMBUT BAIK LANJUTAN TARIKH PENDAFTARAN KENDERAAN. CUBA PENUHI TEMPAHAN TERTUNGGAK

Perodua menyambut baik pengumuman Kementerian Kewangan (MoF) baru-baru ini yang membenarkan pelanggan menikmati pengecualian cukai jualan selagi kenderaan ditempah sebelum 30 Jun 2022.

Menurut Kementerian Kewangan, mereka yang telah membuat tempahan sebelum 30 Jun 2022 boleh menikmati inisiatif pengecualian cukai jualan selagi kenderaan mereka didaftarkan dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan pada atau sebelum 31 Mac 2023.

“Kami amat berterima kasih kepada kerajaan atas pengumuman ini kerana ia memberi ruang kepada industri dan pasaran untuk memenuhi permintaan para pengguna. Malah, memberi masa kepada kami untuk mengatasi pelbagai isu sedia ada,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Antara isu yang masih memberi kesan kepada industri automotif tempatan termaksuklah impak Covid-19, kekurangan komponen dan tenaga kerja.

“Isu-isu ini masih cuba ditangani, Perodua dan pembekal sedang mencari jalan penyelesaian yang bersesuaian. Lanjutan masa untuk mendaftarkan kenderan yang ditempah memberi kami ruang yang amat diperlukan untuk mengatasi isu-isu tersebut,” kata Zainal.

Bagi para pelanggan Perodua, pengumuman ini memberi jaminan bahawa mereka akan dapat menikmati insentif pengecualian cukai jualan yang telah membantu industri sejak tahun 2020.

“Setakat ini, kami cuba memenuhi pesanan tertunggak yang masih tinggi dan kami amat menghargai para pelanggan kami di atas kesabaran mereka,” kata Dato’ Zainal.

Mengenai penghantaran setakat ini, beliau berkata Perodua telah mendaftarkan 106,179 kenderaan di antara Januari dan Mei tahun ini, iaitu 10 peratus lebih daripada 96,281 unit yang didaftarkan dalam tempoh sama tahun lepas.

Daripada jumlah 106,179 tersebut, Perodua Myvi merupakan model paling laris dengan 31,689 unit didaftarkan, diikuti oleh Axia sebanyak 24,024 unit dan Bezza 23,336 unit.

Google ads
Back to top button