Buletin

KAWASAKI BELI HAKCIPTA SUPER MOPED MODENAS?

Kami sudah dengar desas-desus mengenai spekulasi ini sejak beberapa minggu yang lepas. Selepas menyemak dengan beberapa sumber, gosip mengenai masa depan supermoped yang dibangunkan Modenas sebelum ini nampaknya seakan menemui sinar baru.

Jika anda masih ingat, Modenas pernah membangunkan super kapcai 150cc (yang kemudiannya dinaikan kepada 175cc). Ia telah menelan belanja yang besar sejak jurutera mereka dihantar ke Austria membangunkan enjin dan motosikal ini dari awal.

Namun, atas sebab-sebab ekonomi, Projek ini dihentikan meskipun motosikal ini sudah siap sepenuhnya. Ia diumumkan sendiri oleh Dato Sri Syed Faisal, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM.

BACA: MODENAS BATALKAN PROJEK SUPERMOPED

SPEKULASI BARU

Ini adalah spekulasi terbaru yang kami terima berdasarkan info yang rapat dengan syarikat motosikal negara ini.

Modenas sebenarnya tidak menamatkan terus projek super kapcai ini namun hak rekaciptanya akan dijual kepada pihak lain dengan sejumlah kepentingan dikongsi bersama.

Siasatan lanjut kami mendapati bahawa berkemungkinan ia akan berpindah kepada syarikat motosikal Kawasaki yang juga merupakan pemegang saham dalam syarikat Modenas.

Jadi maknanya apa?

Maknanya, Kawasaki akan memiliki sepenuhnya hak IP (Intelectual Property) bagi enjin tersebut. Hal ini adalah kerana membangunkan enjin sendiri kosnya tinggi dan membeli rekaan enjin yang sudah siap merupakan langkah menjimatkan masa dan kos. Malah, ia tetap satu tindakan yang bijak bagi sebuah syarikat sebesar Kawasaki sekalipun.

Tidak seperti Modenas yang hanya bergantung pada pasaran domestik, Kawasaki, sebagai pemain industri global sudah tentu mampu mempelbagaikan produk menerusi enjin tersebut. Hampir pasti ia tidak terhad kepada kapcai semata-mata.

Dengan jalinan pasaran seluruh dunia, skala pasaran yang pelbagai, mereka boleh sahaja hasilkan motosikal genre naked, sportbike kecil atau cruiser (ingat Jaguh kan?).

Jadi adakah Modenas akhirnya akan berkongsi dengan Kawasaki untuk hasilkan supermoped secara bersama?

Tiada jawapan untuk persoalan ini. Namun jika anda mahukan pendapat kami maka kami fikir, Ya.

Sepatutnya kedudukan pasaran akan berpihak pada Modenas kerana Kawasaki mungkin akan menyuntik modal, menggunakan sumber dari pembekal mereka dengan skala yang lebih besar bagi pasaran luar mereka.

Ia akhirnya membolehkan supermoped tersebut dihasilkan dalam skala besar untuk pasaran berbeza yang akhirnya menurunkan kos keseluruhannya.

Kawasaki mungkin hasilkan supermoped untuk pasaran eksport sementara Modenas akan menumpukan pada pasaran domestik.

Sekurang-kurangnya, inilah yang kami jangkakan sekiranya gosip ini benar-benar jadi kenyataan.

Realiti dalam perniagaan pun memang begitu dan kami masih ingat kata-kata orang besar dari DRB-HICOM ketika diasak berkali-kali dengan soalan supermoped ini.

“Setelah berjuta wang kami belanjakan, anda rasa kami nak hentikan begitu saja?”

Google ads
"
"
Back to top button