Motosikal

BREAKING NEWS! MODENAS SAH TIDAK AKAN KELUARKAN SUPERMOPED 150CC

DRB Hicom Berhad hari ini mengesahkan bahawa pembangunan enjin untuk kapcai berkuasa tinggi pertama mereka telah dihentikan.

Langkah itu diambil berikutan pembangunan enjin bersesaran 175cc itu memakan kos yang tinggi. Selain tidak mempunyai pasaran yang kukuh untuk meneruskannya. Jadi, dari segi ekonominya, ia tidak berbaloi untuk diteruskan.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad, Dato’ Sri Syed Faisal Albar dalam satu sesi soal jawab bersama media di Melaka.

“Pembatalan model ini juga ada kaitan dengan regulasi emisi Euro4,” kata Syed Faisal lagi.

Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, Modenas telah mengambil masa lebih tiga tahun untuk membangunkan supermoped dengan enjin bersesaran 150cc itu.

Apa yang membuatkan ramai lebih teruja ialah enjin tersebut menggunakan 100 peratus kepakaran jurutera tempatan dan mendapat kerjasama dari segi penyelidikan dan pembangunan di Universiti Graz di Austria.

Terdahulu, kami ada melaporkan bahawa enjin itu sudah siap sepenuhnya dan telah melalui fasa ujian makmal dan jalanan yang ekstensif.

Menurut sumber kami, ia sebuah enjin 150cc dengan 16 kuasa kuda, paling tinggi dalam kategorinya. Enjin ini dibentangkan secara menegak dengan kepala selinder aci sesondol berkembar (DOHC), sejukan cecair, suntikan bahan api elektronik dan sistem transmisi enam kelajuan.

Namun enjin ini memasuki fasa kedua dengan “bore-up” untuk menjadikannya 175cc. Ia dipercayai berkaitrapat dengan persaingan dalam kelas ini di mana Sym telah perkenalkan VF3i dengan enjin 185cc.

Kami tahu pasti ramai yang kecewa dengan berita ini, tetapi itulah berita terkini yang boleh kami berikan.

Jadi, apakah Modenas akan terus melupakan hasrat membangunkan kapcai berkapasiti tinggi selepas ini? Atau mungkin dibina dengan kerjasama pengeluar motosikal lain? Sama-sama kita nantikan…

Google ads
"
"
Back to top button