
KENAPA ADA WARNA BARU DIPERKENALKAN SETIAP KALI MODEL FACELIFT DIBUAT?
Ketika Henry Ford mengeluarkan kereta Ford Model T dengan harga murah dan mampu milik ketika itu, ia hanya ditawarkan dalam satu warna sahaja iaitu hitam. Ketika itu pasaran menerima kereta sebagai pengganti kereta kuda dan ia dianggap sebagai barang keperluan untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.
Kereta bukanlah satu barang kehendak, warna hitam pun ok asalkan boleh bergerak dengan pantas. Bayangkan ketika itu jika anda beli Ford Model T, jiran anda, ketua kampung, pengerusi JKKK, YB dan juga cucu YB semua pakai Ford Model T berwarna hitam. OK tak ada masalah ketika itu.
Sehinggalah General Motor dan pembekal cat mereka iaitu DuPont merevolusikan penggunaan warna yang menarik dalam industri automotif, sebagai salah satu daya penarik untuk pembeli. Hubungan rapat DuPont dengan GM bermula dari awal tahun 1922 apabila DuPont memperkenalkan cat baru yang diberi nama Duco khas untuk kegunaan automotif

Ketika ini hanya kereta berjenama mewah seperti Cadillac dan Rolls Royce yang menggunakan pelbagai warna yang menarik tapi sangat mahal untuk dihasilkan dan digunakan pada kereta biasa. Alfred P Sloan, President GM pada tahun 1923 percaya, jualan kereta boleh dinaikkan jika ada warna lain yang digunakan selain daripada warna hitam
Jadi semasa New York Autoshow 1923, 7 kereta pameran GM diwarnakan dengan pilihan warna biru, oren dan juga merah. Ajaibnya selepas pameran tersebut, GM menerima banyak tempahan kereta mereka dengan pilihan warna baru. Maka Sloan mengarahkan semua kereta keluaran GM termasuk Chevrolet dan Cadillac diberi pilihan warna yang banyak dengan bantuan teknikal DuPont
Kalau anda perasan, semasa pelancaran setiap model baru sebenarnya tidak banyak pilihan warna yang disediakan. Warna klasik yang wajib disediakan ialah putih, hitam dan juga perak. Selepas warna ini ditawarkan, barulah ada satu dua warna yang agak menyerlah samaada warna biru, merah ataupun kuning.

Sebenarnya untuk menawarkan pilihan warna pada pengguna, pengeluar perlu komited mengeluarkan pelaburan awal untuk menyediakan fasiliti mengecat Paint Shop di kilang mereka dan ia bukanlah mudah dan murah. Itu belum lagi faktor lain yang perlu diambil kira seperti penjagaan kualiti.
Jadi selepas 2 tahun dijual, jabatan jualan akan memberikan data pada jabatan pemasaran dan R&D berkenaan warna pilihan yang perlu ditamatkan pengeluaran dan apakah warna baru yang perlu dihasilkan. Sebab biasanya dalam tempoh 2-3 tahun, model facelift akan dikeluarkan.
Bagi menarik perhatian pembeli baru atau pembeli yang sedia ada yang bosan dengan warna yang sedia ada, maka eksesais warna baru akan digunakan. Warna yang diperkenalkan biasanya warna yang vibrant atau menyerlah bagi menarik lebih ramai pembeli baru dan muda tertarik pada produk mereka

Contohnya Myvi 2020 datang dengan warna biru, Proton X70 baru warna biru akan digunakan, Honda Civic memperkenalkan warna merah baru, Vios datang dengan pilihan warna oren dan merah, Proton Persona, Exora dan Iriz dihasilkan dengan warna hitam calitan kuning edisi terhad, pikap trak Hilux turut mendapat 7 pilihan warna kepada pengguna.
Warna yang ditawarkan pada kereta sebenarnya fesyen dan juga faktor kehendak kerana ia memberi pilihan kepada bakal pembeli bagi menghasilkan dan memilih produk yang sesuai dengan personaliti mereka. Lagipun dengan warna pilihan baru menyerlah, mudahlah untuk kenalan anda perasan anda membeli kereta baru kan.
