Artikel Pilihan

TEKANAN ANGIN TAYAR DEPAN & BELAKANG TAK SAMA?

Ramai pemilik kereta cenderung untuk menetapkan tekanan angin yang sama pada semua tayar. Sebagai contoh, 32 PSI untuk semua tayar dianggap sebagai tetapan biasa yang sesuai digunakan untuk kebanyakan keadaan. Namun tekanan angin tayar depan dan belakang tidak semestinya perlu sama.

Malah perbezaan tekanan tersebut sebenarnya ditentukan oleh pengeluar berdasarkan reka bentuk, agihan berat dan karakter pemanduan sesebuah kenderaan. Walaupun kecil, tetapi tekanan angin memainkan peranan penting dalam menentukan prestasi, keselamatan dan keselesaan sesebuah kereta.

Setiap tayar perlu menampung beban dan bekerja dalam keadaan yang berbeza mengikut kedudukannya pada kenderaan. Jadi menetapkan tekanan angin yang betul bukan sekadar memastikan tayar tidak terlalu lembik atau keras, sebaliknya membantu mengekalkan ciri pengendalian yang telah ditetapkan oleh pengeluar.

Salah satu faktor utama yang menentukan perbezaan tekanan angin ialah agihan berat kenderaan. Disebabkan kereta menggunakan enjin yang dipasang di bahagian depan, menjadikan gandar depan menanggung beban yang lebih tinggi berbanding bahagian belakang, khususnya apabila kenderaan tidak membawa penumpang atau barangan tambahan.

Jadi ada pengeluar menetapkan tekanan angin tayar depan lebih tinggi berbanding belakang bagi memastikan tayar mampu menampung beban dengan baik. Bagaimanapun, konfigurasi ini tidak terpakai kepada semua kenderaan kerana kedudukan enjin, susun atur sistem pacuan dan reka bentuk casis turut mempengaruhi agihan berat.

Bagi kereta berenjin tengah atau belakang, beban yang lebih tinggi pada bahagian belakang boleh menyebabkan pengeluar menetapkan tekanan angin tayar belakang yang lebih tinggi. Perkara sama juga boleh dilihat pada sesetengah kenderaan elektrik (EV) yang menggunakan pek bateri besar dan mempunyai agihan berat tersendiri.

Tekanan angin tayar turut mempengaruhi cara sesebuah kereta bertindak balas ketika dipandu seperti menentukan tahap kekerasan tayar, bentuk permukaan sentuhan dengan jalan dan respons dinding sisi ketika menerima beban. Tekanan yang terlalu rendah boleh menyebabkan dinding sisi tayar melentur secara berlebihan.

Keadaan ini meningkatkan penghasilan haba dan boleh menjejaskan kestabilan ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi. Dalam jangka masa panjang, ia juga berpotensi mempercepatkan kehausan tayar dan meningkatkan penggunaan bahan api atau tenaga elektrik.

Manakala tekanan yang terlalu tinggi boleh mengubah bentuk permukaan sentuhan tayar dengan jalan. Ini menjadikan bahagian tengah bunga tayar mungkin menerima beban yang lebih tinggi sehingga menyebabkan kehausan tidak sekata. Karakter pemanduan juga boleh menjadi lebih keras kerana tayar kurang berupaya menyerap ketidaksempurnaan permukaan jalan.

Satu lagi perkara yang sering terlepas pandang ialah perubahan tekanan angin mengikut jumlah muatan kenderaan. Kereta yang digunakan oleh seorang pemandu sahaja mempunyai agihan beban berbeza berbanding kereta yang membawa lima penumpang bersama ruang bagasi yang penuh.

Apabila jumlah penumpang dan barangan bertambah, beban pada gandar belakang lazimnya meningkat. Jadi sesetengah pengeluar kenderaan menyediakan dua cadangan tekanan angin, iaitu untuk penggunaan biasa dan ketika membawa muatan penuh. Pemilik kereta boleh menemui maklumat ini pada pelekat spesifikasi tayar yang biasanya terletak pada bingkai pintu pemandu, penutup tangki bahan api atau dalam buku manual kenderaan.

Jangan jadikan angka pada dinding sisi tayar sebagai panduan

Kesilapan lain yang sering dilakukan ialah menggunakan angka tekanan maksimum yang tertera pada dinding sisi tayar sebagai rujukan ketika mengisi angin.

Angka tersebut bukan semestinya tekanan operasi yang disyorkan untuk sesebuah kereta. Ia berkaitan dengan had tekanan maksimum tayar berdasarkan spesifikasi dan kapasiti bebannya. Tekanan angin yang sesuai untuk kenderaan pula ditentukan oleh pengeluar kereta selepas mengambil kira pelbagai faktor kejuruteraan.

Pemeriksaan tekanan angin juga sebaik-baiknya dilakukan ketika tayar masih sejuk, iaitu sebelum memulakan perjalanan jauh atau selepas kenderaan dibiarkan beberapa jam. Ini kerana tekanan angin boleh meningkat apabila tayar menjadi panas selepas digunakan.

Google ads
Back to top button