Artikel Pilihan

ENJIN 4 SILINDER NA 330PS, 10000 RPM

Ketika kebanyakan pengeluar automotif semakin bergantung kepada teknologi turbo untuk menghasilkan kuasa tinggi daripada enjin bersesaran kecil, firma Boreham Motorworks dari UK tampil dengan pendekatan yang berbeza dengan membangunkan sebuah enjin empat silinder 2.1-liter aspirasi normal yang mampu menghasilkan sehingga 330PS dan berputar pada 10,000rpm.

Dikenali sebagai Boreham TEN-K, enjin ini dibangunkan khas untuk Ford Escort Mk1 RS versi moden dan merupakan sebahagian daripada projek menghidupkan semula model ikonik Ford Escort generasi pertama menerusi kerjasama rasmi dengan Ford Motor Company.

Apa yang menjadikan enjin ini cukup istimewa ialah keupayaannya menghasilkan kuasa tinggi tanpa bantuan turbocharger atau supercharger. Sebaliknya, Boreham memberikan tumpuan kepada kejuruteraan dalaman enjin, pengurangan berat dan keupayaan bernafas pada putaran enjin yang sangat tinggi.

Boreham TEN-K merupakan enjin empat silinder sebaris bersaiz 2152cc dengan kepala silinder 16 injap. Ia menggunakan konfigurasi aspirasi normal dengan sistem aci sesondol berkembar yang digerakkan menggunakan tali sawat. Dengan angka 330PS pada 10,000rpm, ia memberikan nisbah kuasa kepada kapasiti yang sangat mengagumkan untuk sebuah enjin tanpa turbo.

Apatah lagi keseluruhan enjin ini mempunyai berat hanya sekitar 85kg sahaja yang dicapai menerusi penggunaan komponen ringan dan teknologi pembuatan moden yang membolehkan struktur enjin dihasilkan dengan lebih kompak tanpa mengorbankan kekuatan.

Antara komponen yang menggunakan bahan billet termasuk aci engkol, connecting rods, engine cradle, sistem dry sump dan penutup aci sesondol. Ia turut menggunakan connecting rods jenis forged bagi memenuhi keperluan operasi pada putaran enjin yang tinggi.

Boreham turut menggunakan teknologi tuangan 3D untuk menghasilkan blok enjin berdinding nipis. Pendekatan ini membolehkan struktur blok dibentuk lebih hampir dengan komponen dalaman, sekali gus mengurangkan penggunaan bahan dan berat keseluruhan.

Bagi memastikan enjin mampu bernafas dengan baik pada putaran tinggi, Boreham membangunkan kepala silinder 16 injap dengan geometri saluran kemasukan dan ekzos yang diinspirasikan daripada teknologi Formula 1 seperti menggunakan sistem individual throttle bodies (ITB)

Sistem kemasukan udara pula menggunakan kotak udara gentian karbon bersama reka bentuk saluran aliran rendah rintangan bagi mengoptimumkan bekalan udara ke dalam enjin. Untuk memastikan pelinciran kekal konsisten ketika enjin beroperasi pada tahap prestasi tinggi, Boreham menggunakan sistem pelinciran dry sump berkapasiti tujuh liter.

Kuasa daripada enjin TEN-K disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi manual lima kelajuan yang dibangunkan khusus untuk projek ini, dengan susunan dog-leg bagi gear pertama serta nisbah gear rapat yang dioptimumkan untuk memastikan enjin sentiasa berada dalam julat putaran kuasa terbaik.

Sistem pacuan roda belakang ini turut menggunakan nisbah final drive 5.125 dan pembeza automatik jenis torque-biasing bagi membantu penghantaran kuasa ke permukaan jalan. Boreham Motorworks merancang untuk menghasilkan 150 unit Escort Mk1 RS ini. Selain enjin TEN-K, pelanggan turut ditawarkan pilihan enjin empat silinder 1.85-liter yang menghasilkan sekitar 185hp.

Harga permulaan model ini diumumkan pada £295,000 (RM 1.59 juta) menjadikannya sebuah produk eksklusif untuk pengumpul kereta klasik dan peminat Ford.

Google ads
Back to top button