
KIA OPIRUS - MODEL PERDANA PERTAMA DARI KIA
Kita pastinya tidak dapat untuk mengenal pasti apakah identiti mode yang dipaparkan jika hanya melihat gambarnya sahaja. Sekali tengok macam model Mercedes pun iya juga. Tapi ini C Class ke atau pun D Class? Keliru sungguh. Tapi sebenarnya ini adalah Kia Opirus.
Kia Opirus ini diproduksi pada tahun 2003 setelah mula dipertontonkan kepada umum sewaktu Geneva Motor Show 2003. Kia Opirus ini adalah sebuah model sedan ekselutif bersaiz penuh yang dikhususkan untuk pasaran tempatan dan juga luar negeri terutamanya Amerika Syarikat.

Walaupun mungkin terdapat kecelaruan identiti terhadap model ini, tetapi setidaknya Kia Motors cukup bercita – cita tinggi mahu menumbusi pasaran luar dengan penghasilkan model ini.
Kia Opirus ini merupakan langkah besar untuk Kia menembusi sektor pasaran yang sebelum ini belum diterokai oleh jenama Korea tersebut. Opirus akan menjauhkan imej jenama itu daripada persepsi lapuknya sebagai hanya pengeluar kereta keluarga yang murah. Tidak pernah sebelum ini kereta Korea menawarkan kepada pelanggan rangkaian teknologi keselamatan dan pemanduan yang begitu komprehensif.

Kia Opirus ini walaupun direka di Korea, tetapi menampilkan reka bentuk dengan gaya Eropah dengan Kia mengadaptasi tema Neo-Classical bagi model perdana mereka ini dengan menampilkan ciri mewah, teknologi serta kemewahan buat pertama kalinya bagi sebuah jenama Kia.
Kia Opirus ini juga dihasilkan buat pertama kalinya dengan kerjasama diantara Hyundai Motors melalui model Equus. Tetapi untuk Opirus, ianya telah dipanjangkan 1.9 inci begitu juga dengan ketinggian sehingga 2.6 inci.
Rupa hadapan Kia Opirus ini sememangnya ada unsur klasik apabila gril yang besar di tengah telah diapit oleh lampu bulat berkembar di kiri kanan. Juga terdapat kemasan krom pada penghujung bampar kiri kanan yang membawa ke bahagian tengah. Memang kelihatan klasik sungguh.

Bahagian belakang juga menampilkan imej klasik apabila bahagian lid belakang sengaja dinaikkan sedikit dan bukannya rata seperti tipikal sedan yang lain di zamannya.
Sebagai sebuah model sedan eksekutif mewah, ciri keselesaan telah diberikan penumpuan apabila ianya turut dilengkapi dengan sistem perisian yang canggih dengan menggunakan sistem suspensi kawalan elektronik. Tujuh sensor dipasang bagi memantau tahap kelajuan, menilai tahap gulingan kenderaan, atau pun sebarang kondisi jalanraya. Hasilnya sudah tentu tahap keselesaan pemanduan yang jitu.
Menggerakkan Kia Opirus ini adalah nadi daripada 3.5 liter V6 yang menghasilkan kuasa 203 PS dan 298 Nm. Pemandunya boleh menukar daripada mode pemanduan auto lima kelajuan kepada mod manual berjujuk untuk mendapatkan lebih kuasa enjin sepenuhnya yang lebih sporty.

Dan sistem brek milik Kia Opirus ini juga dianggap cukup baik apabila menggunakan brek cakera pengudaraan yang lebih besar (depan 303 mm) serta brek cakera standard dengan ukuran 284 mm. Juga terdapat sistem ABS, EBD dan juga kawalan traksi.
Tahukah anda bahawa Kia Opirus ini dipasarkan di pasaran Amerika dengan sasaran pembeli golongan professional yang berusia 40 hingga 60 tahun. Dan di sana juga, ianya dikenali dengan nama Kia Amanti. Tempoh produksinya pula tamat pada tahun 2011 setelah memulakan pengeluaran pada tahun 2003 dengan ketiadaan pengganti untuk generasi berikutnya.


