Buletin

SUSULAN ISU ‘KETIDAKATURAN PROSEDUR’, PERODUA BUAT PENILAIAN TERPERINCI

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) sedang melakukan penilaian terperinci mengenai pengumuman Daihatsu Motor Co Ltd (DMC) yang dikeluarkan hari ini mengenai penggantungan model-modelnya disebabkan oleh ‘ketidakaturan prosedur’.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata syarikat juga sedang dalam perbincangan bersama pihak berkuasa Malaysia mengenai kesan perkembangan ini terhadap kenderaan keluarannya.

“Kami memohon maaf kepada pelanggan yang kami hargai serta orang awam di atas keresahan yang timbul daripada pengumuman ini. Niat kami adalah untuk memberi jaminan kepada pelanggan yang kami hargai.

“Kami akan berkongsi hasil perbincangan ini dengan semua pelanggan dalam masa terdekat,” katanya.

DMC dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan akan menangguhkan sementara penghantaran kenderaan selepas siasatan skandal penipuan menemukan masalah membabitkan 64 kenderaan.

Panel penyiasat bebas telah menjalankan siasatan terhadap DMC selepas pengeluar itu mengakui terdapat unsur penipuan terhadap ujian keselamatan kemalangan bagi 88,000 kereta kecil April lalu.

Sehubungan itu, PERODUA turut mengeluarkan kenyataannya sebagai maklum balas kepada laporan jawatankuasa audit bebas mengenai ‘ketidakaturan prosedur’ dilakukan oleh DMC semasa menjalankan ujian keselamatan kenderaan terhadap beberapa pengeluar kenderaan (OEM).

“Pemeriksaan dan ujian ini mengesahkan bahawa kesemua 174 ketidakaturan yang dikenalpasti oleh jawatankuasa audit bebas memenuhi piawaian ditetapkan oleh undang-undang dan peraturan,” memetik laporan jawatankuasa audit bebas sepertimana diumumkan oleh DMC.

Google ads
Back to top button