Buletin

MAZDA PAMER DUA MODEL KONSEP BAHARU DI JAPAN MOBILITY SHOW 2025: VISION X-COUPE DAN VISION X-COMPACT

Mazda tampil dengan dua model konsep yang cukup menarik perhatian di Japan Mobility Show 2025, iaitu Mazda Vision X-Coupe dan Mazda Vision X-Compact.

Kedua-duanya menampilkan hala tuju jenama menuju masa depan di bawah tema “The Joy of Driving Fuels a Sustainable Tomorrow”, yang menekankan keseimbangan antara keseronokan pemanduan dan kelestarian.

Mazda Vision X-Coupe:

Vision X-Coupe direka sebagai crossover coupe berprestasi tinggi, memperlihatkan evolusi terkini falsafah reka bentuk ‘KODO – Soul of Motion’ yang semakin matang dan ekspresif.

Di bawah bonet, Mazda kembali menghidupkan enjin rotary dua rotor dengan pengecas turbo, digandingkan bersama sistem plug-in hybrid (PHEV).

Gabungan ini menghasilkan kuasa maksimum 510PS, dengan jarak pemanduan elektrik murni sejauh 160km, serta gabungan keseluruhan sehingga 800km apabila enjin mula beroperasi.

Menariknya, Mazda turut memperkenalkan teknologi “Mazda Mobile Carbon Capture”, yang bersama bahan api neutral karbon berasaskan mikroalga, mampu menyerap CO₂ dari atmosfera ketika kenderaan dipandu, satu konsep yang secara literal “membersihkan udara sambil memandu.”

Bahagian dalaman pula mengekalkan sentuhan Mazda yang elegan dan berorientasikan pemandu, empat kerusi bucket individu, susun atur minimalis dengan gabungan warna kelabu dan hijau, serta paparan infotainmen lebar penuh yang merentasi papan pemuka.

Ciri paling klasik, stereng tiga jejari bulat masih dikekalkan, mengingatkan kita kepada DNA pemanduan Mazda yang kita ketahui.

Bagi peminat tegar RX-7 dan RX-8, kemunculan Vision X-Coupe ini boleh dianggap sebagai petanda kebangkitan semula barisan RX, kali pertama menggunakan enjin dua rotor sejak RX-8 dihentikan lebih sedekad lalu.

Dari segi saiz, Mazda Vision X-Coupe hadir dengan ukuran panjang keseluruhan 5,050mm, lebar 1,995mm, tinggi 1,480mm, dan jarak antara roda mencecah 3,080mm.

Mazda Vision X-Compact:

Jika X-Coupe menumpukan kepada kuasa dan prestasi, Vision X-Compact pula menggambarkan masa depan mobiliti pintar yang lebih peribadi dan berjiwa manusia.

Kompak dengan panjang hanya 3,825mm, model ini dicipta untuk membina hubungan emosi antara pemandu dan kereta.

Mazda menggambarkannya sebagai “rakan pemandu,” hasil gabungan AI empatik dan model digital berasaskan deria manusia, mampu berinteraksi secara semula jadi; bercakap, memberi cadangan destinasi, malah memahami suasana hati pemandu.

Dari segi dimensi, Mazda Vision X-Compact menampilkan lebar 1,795mm, tinggi 1,470mm, serta jarak roda 2,515mm, menjadikannya sesuai untuk kegunaan bandar.

Menurut Presiden & CEO Mazda, Masahiro Moro, falsafah “The joy of driving fuels a sustainable tomorrow” mencerminkan semangat asas Mazda, bahawa kegembiraan memandu boleh menjadi pemangkin kepada perubahan positif untuk manusia.

Google ads
Back to top button