
MG ZS CKD LANCAR HUJUNG OKTOBER INI – HARGA DARI RM105K
SAIC Motor Malaysia bakal melancarkan MG ZS pemasangan tempatan (CKD) untuk pasaran Malaysia pada penghujung Oktober ini, selepas model SUV segmen-B berkenaan diperkenalkan kepada umum menerusi Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (KLIMS 2026).
Model generasi baharu ini ditawarkan dalam dua pilihan trenkuasa, iaitu MG ZS 1.5 Turbo dan MG ZS Hybrid+, dengan anggaran harga masing-masing RM105,000 dan RM115,000. Harga tersebut adalah untuk Semenanjung Malaysia dan tidak termasuk insurans.
Bagi menggalakkan tempahan awal, MG Malaysia menawarkan ganjaran eksklusif bernilai RM3,000 serta pakej penyelenggaraan percuma selama lima tahun kepada 1,000 pelanggan terawal.
Dari segi penampilan, MG ZS menampilkan gabungan gaya sporty dan moden menerusi lampu utama Connected Hunter Eyes, gril hitam, garis badan aerodinamik, lampu belakang LED serta rim aloi berreka bentuk kontemporari.

Dengan dimensi yang besar dalam kelasnya, SUV ini turut menawarkan ruang kabin praktikal untuk kegunaan harian. Bahagian dalaman dilengkapi bumbung suria panoramik, skrin infotainmen terapung 12.3-inci dan paparan instrumen digital 12.3-inci.
Ruang penyimpanan turut menjadi antara kelebihannya dengan kapasiti but 443 liter, yang boleh ditingkatkan kepada 1,457 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.
SPESIFIKASI MG ZS 1.5 TURBO
- Enjin: Petrol 1.5 liter pengecas turbo
- Kuasa maksimum: 170PS (125kW)
- Tork maksimum: 275Nm
- Transmisi: CVT
- Pacuan: Roda hadapan
- Penggunaan bahan api purata: 6.9 liter/100km
- Kapasiti tangki bahan api: 55 liter
Varian ini menggunakan enjin petrol pengecas turbo yang dipadankan dengan transmisi CVT bagi memberikan tindak balas pemanduan yang sesuai untuk perjalanan harian.

SPESIFIKASI MG ZS HYBRID+
- Enjin: Petrol 1.5 liter aspirasi semula jadi
- Motor elektrik: 100kW
- Kapasiti bateri: 1.83kWh, jenis NCM
- Kuasa keseluruhan: 215PS (158kW)
- Tork keseluruhan: 465Nm
- Transmisi: Hibrid tiga kelajuan
- Pecutan 0–100 km/j: 8.7 saat
- Penggunaan bahan api: Serendah 4.7 liter/100km
- Jarak perjalanan: Sehingga 870km bagi satu tangki penuh
- Kapasiti tangki bahan api: 41 liter
Sistem hibrid ini menggabungkan enjin petrol dengan motor elektrik untuk menghasilkan prestasi lebih bertenaga serta penggunaan bahan api yang lebih rendah.
Ia turut membolehkan pemanduan menggunakan mod elektrik pada kelajuan sehingga 80km/j dalam keadaan yang bersesuaian, tanpa memerlukan pengecasan luaran.
Bagi aspek keselamatan, kedua-dua varian dilengkapi sistem bantuan pemanduan MG PILOT dengan teknologi bantuan pemandu termaju (ADAS) Tahap 2.5. Antara ciri yang disediakan ialah Intelligent Cruise Assist (ICA) dan Driver Fatigue Monitoring System (DFMS).

Pemilik juga boleh mengakses pelbagai fungsi kenderaan dari jauh menerusi aplikasi telefon pintar MG iSMART, termasuk fungsi kunci digital.
MG ZS ditawarkan dalam empat pilihan warna luaran, iaitu;
- Flare Red
- Silver
- Andes Grey
- York White
Kabinnya pula menggunakan kemasan hitam dengan tempat duduk kulit tiruan berliang bagi memberikan keselesaan kepada pemandu dan penumpang.
Tempahan awal bagi MG ZS 1.5 Turbo dan MG ZS Hybrid+ kini dibuka menerusi laman web rasmi MG Malaysia di www.mgmalaysia.com.
Orang ramai juga berpeluang melihat MG ZS Hybrid+ dengan lebih dekat menerusi pameran di Nexus Bangsar South dari 19 hingga 23 Oktober 2026, bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.
GALERI:












