
MG ZS CKD DILANCARKAN – DUA VARIAN; MG ZS 1.5 TURBO DAN HYBRID+, HARGA MULA RM103K
SAIC Motor Malaysia secara rasmi melancarkan MG ZS generasi baharu yang dipasang secara tempatan (CKD), dengan dua pilihan tren kuasa menerusi varian MG ZS 1.5 Turbo dan MG ZS Hybrid+.
Model SUV segmen-B itu ditawarkan pada harga RM103,900 bagi MG ZS 1.5 Turbo, manakala MG ZS Hybrid+ dijual pada harga RM109,900. Harga berkenaan adalah untuk Semenanjung Malaysia dan tidak termasuk insurans.
Bagi menggalakkan pembelian, pelanggan yang membuat tempahan awal akan menerima manfaat bernilai RM3,000 serta penyelenggaraan percuma selama lima tahun.
Selain itu, pembeli MG ZS 1.5 Turbo boleh menikmati pakej pembiayaan khas menerusi kerjasama dengan Hong Leong Bank dan Bank Rakyat sehingga 31 Disember 2026. Sementara itu, pembeli varian Hybrid+ turut layak menerima ganjaran bonus hujung tahun sebanyak RM3,000.

Dari segi penampilan, MG ZS baharu hadir dengan reka bentuk luaran yang lebih moden dan sporty. Antara ciri yang ditampilkan termasuk lampu utama Connected Hunter Eyes, gril dengan aksen hitam, lampu belakang LED, spoiler belakang serta rim aloi berukuran 18-inci.
SUV ini turut ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu Flare Red, Silver, Andes Grey dan York White.
Ruang kabinnya pula direka dengan pendekatan ergonomik bagi memberikan keselesaan kepada pemandu dan penumpang. Bahagian dalaman serba hitam dilengkapi tempat duduk kulit sintetik berlubang dengan fungsi pengudaraan untuk kerusi hadapan.
Antara kelengkapan lain termasuk bumbung panoramik, skrin infotainmen terapung 12.3-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar serta paparan meter digital penuh bersaiz 12.3-inci.
MG ZS turut menyediakan sebanyak 30 ruang penyimpanan dalam kabin, manakala ruang but berkapasiti 443 liter boleh diperluaskan sehingga 1,457 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

Aspek pengendalian pula disokong sistem suspensi yang menggunakan gabungan bahan ringan dan tegar bagi mencapai keseimbangan antara keselesaan serta kestabilan. Pemandu juga boleh memilih tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport.
Dari sudut keselamatan, model ini memperoleh penarafan lima bintang ANCAP dan dilengkapi sistem bantuan pemanduan MG PILOT yang menawarkan 16 fungsi keselamatan, termasuk Intelligent Headlight Control dan Intelligent Cruise Control.
Pemilik juga boleh menggunakan aplikasi MG iSMART untuk mengakses serta mengawal beberapa fungsi kenderaan melalui telefon pintar, termasuk ciri kemasukan tanpa kunci.
MG ZS 1.5 TURBO
Bagi varian petrol, MG ZS 1.5 Turbo menggunakan enjin 1.5 liter turbo dengan sistem suntikan terus dan binaan aloi penuh.
Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 170PS (125kW) dengan tork 275Nm, sebelum dipadankan bersama transmisi CVT lapan kelajuan.
Berikut spesifikasi utama MG ZS 1.5 Turbo:
- Enjin: 1.5 liter turbo petrol
- Kuasa maksimum: 170PS (125kW)
- Tork maksimum: 275Nm
- Transmisi: CVT lapan kelajuan
- Penggunaan bahan api gabungan: 6.9 liter/100km
- Kapasiti tangki bahan api: 55 liter

MG ZS HYBRID+
Bagi mereka yang mahukan pilihan elektrifikasi, MG ZS Hybrid+ menggabungkan enjin petrol 1.5 liter empat silinder kitaran Atkinson bersama motor elektrik 100kW.
Sistem berkenaan turut menggunakan bateri jenis nikel-mangan-kobalt (NMC) berkapasiti 1.83kWh dan menghasilkan kuasa gabungan 215PS (158kW) serta tork maksimum 465Nm.
Kuasa disalurkan menerusi transmisi hibrid khusus tiga kelajuan (DHT), membolehkan SUV ini memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa 8.7 saat.
Antara spesifikasi utama MG ZS Hybrid+ ialah:
- Enjin: 1.5 liter empat silinder kitaran Atkinson
- Motor elektrik: 100kW
- Kapasiti bateri: 1.83kWh (NMC)
- Kuasa gabungan: 215PS (158kW)
- Tork maksimum: 465Nm
- Transmisi: Dedicated Hybrid Transmission (DHT) tiga kelajuan
- Pecutan 0-100km/j: 8.7 saat
- Penggunaan bahan api: 4.7 liter/100km
- Kapasiti tangki bahan api: 41 liter
- Jarak pemanduan maksimum: Sehingga 870km
Sistem hibrid ini menawarkan lapan mod operasi kuasa dan tidak memerlukan pengecasan luaran. Dalam keadaan pemanduan tertentu, MG ZS Hybrid+ juga boleh bergerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya pada kelajuan sehingga 80km/j.
Dari segi perlindungan pemilikan, SAIC Motor Malaysia menawarkan pakej waranti lanjutan kepada 3,000 pelanggan pertama.
Pakej tersebut merangkumi waranti kenderaan selama tujuh tahun tanpa had perbatuan, manakala bateri hibrid diberikan perlindungan selama lapan tahun atau 160,000km.
Pelanggan yang berminat boleh mengunjungi bilik pameran sah MG di seluruh negara kerana unit pandu uji MG ZS kini telah tersedia untuk dicuba, termasuk varian Hybrid+.
GALERI:





















