Buletin

BYD MALAYSIA LANTIK SIME MOTORS UNTUK PEMASANGAN TEMPATAN DI INOKOM

BYD Malaysia melantik Inokom Corporation Sdn. Bhd. (Inokom), anak syarikat Sime Motors yang berpangkalan di Kulim, Kedah, sebagai rakan pemasangan tempatan bagi merealisasikan perancangan pemasangan kenderaan elektrik jenama itu di Malaysia.

Pelantikan berkenaan dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani di ibu pejabat global BYD di Shenzhen, China, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan pemasangan kenderaan menggunakan kaedah completely knocked-down (CKD).

Pemilihan Inokom dibuat berdasarkan pengalaman syarikat itu dalam industri pemasangan automotif, kemudahan pengeluaran sedia ada serta tenaga kerja mahir.

Keupayaan tersebut dijangka membantu BYD memanfaatkan infrastruktur pembuatan tempatan bagi menyokong perancangan pengeluaran kenderaan di Malaysia.

Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma, berkata pemasangan tempatan merupakan sebahagian daripada komitmen jangka panjang syarikat terhadap pasaran Malaysia.

Menurutnya, kerjasama dengan Sime Motors membolehkan BYD menggunakan keupayaan industri automotif sedia ada untuk membawa kepakaran dalam kenderaan tenaga baharu dan teknologi bateri lebih dekat kepada pengguna tempatan.

Beliau turut menyatakan bahawa BYD akan terus memperkukuh kehadirannya di Malaysia menerusi kerjasama dengan pemain industri tempatan, selain meneroka peluang bagi meningkatkan pelaburan pada masa hadapan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime, Dato’ Jeffri Salim Davidson, berkata kerjasama tersebut mencerminkan kemampuan industri pembuatan automotif Malaysia yang dibangunkan selama ini.

Katanya, pengalaman Inokom dalam pemasangan kenderaan, disokong rangkaian pembekal tempatan, menyediakan asas yang sesuai untuk menjayakan kerjasama berkenaan.

Beliau menambah, usaha itu bukan sahaja melibatkan pemasangan kenderaan, malah berpotensi memperkukuh ekosistem automotif negara, membuka peluang kepada perniagaan tempatan dan membangunkan kepakaran industri bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang.

MoU berkenaan ditandatangani oleh Naib Presiden BYD merangkap Pengurus Besar Bahagian Jualan Automotif BYD Asia Pasifik, Liu Xueliang, bersama Dato’ Jeffri Salim Davidson.

Majlis itu turut disaksikan oleh Jacob Ma dan Pengarah Urusan Asia Tenggara Sime Motors, Jeffrey Gan.

Bagaimanapun, BYD Malaysia belum mengumumkan model yang akan dipasang di Inokom, jadual permulaan pengeluaran atau butiran lanjut mengenai pelaksanaan program CKD tersebut.

Maklumat berkenaan akan diumumkan pada peringkat seterusnya.

Google ads
Back to top button