
MITSUBISHI ATTRAGE FACELIFT 2026 BAKAL DILANCARKAN DI THAILAND TAHUN INI
Mitsubishi Motors masih belum bersedia untuk menutup tirai segmen kereta penumpang bersaiz kecil di Thailand.
Ini dibuktikan menerusi perancangan pengenalan Mitsubishi Attrage versi facelift 2026, yang dijangka membuat kemunculan rasmi di pasaran Thailand sebelum tahun ini berakhir.
Bagi versi kemas kini tersebut, Attrage bakal tampil dengan rekaan bahagian hadapan baharu, termasuk gril yang mengambil inspirasi daripada model ikonik Lancer Evolution.
Pendekatan ini jelas berbeza berbanding model semasa yang menggunakan bahasa reka bentuk Dynamic Shield, sekali gus memberikan imej lebih segar dan berkarakter.
Pelancaran Attrage facelift ini merupakan sebahagian daripada strategi Mitsubishi Motors untuk mengekalkan kehadiran dalam segmen kereta kecil, ketika pasaran automotif serantau sedang berubah dengan pantas.
Pertumbuhan pesat kenderaan elektrik (BEV), hibrid (HEV), serta peningkatan populariti crossover dan SUV memberi tekanan berterusan kepada model enjin pembakaran dalaman bersaiz kecil, memaksa pengeluar menyesuaikan produk agar kekal relevan.
Buat masa ini, Mitsubishi Attrage sedia ada masih mengekalkan fokus kepada kecekapan dan kebolehgunaan harian.
Ia dikuasakan oleh enjin 1.2 liter tiga silinder aspirasi semula jadi yang menghasilkan sekitar 78hp dengan tork maksimum 106Nm, digandingkan bersama transmisi CVT dan pacuan roda hadapan.
Dalam perkembangan berkaitan, timbul juga spekulasi mengenai Mitsubishi Mirage yang dikatakan bakal menamatkan pengeluaran.
Hasil semakan dengan sumber industri mendapati bahawa setakat 5 Januari 2026, barisan pengeluaran Mirage di kilang Mitsubishi Motors Thailand masih beroperasi seperti biasa.
Walau bagaimanapun, terdapat petunjuk bahawa penghentian pengeluaran dan penamatan jualan secara rasmi berkemungkinan besar akan berlaku dalam tempoh terdekat.







