
PENGELUAR VAKUM, DREAME KEJUTKAN CES 2026 DENGAN DUA SUPERCAR ELEKTRIK
Pada CES 2026 yang berlangsung pada 7 Januari, tumpuan pengunjung tertarik kepada kemunculan dua buah kereta sport berprestasi tinggi yang dipamerkan di bawah jenama Kosmera.
Menariknya, Kosmera disokong oleh Dreame Technology, sebuah syarikat yang lebih dikenali di peringkat global sebagai pengeluar peralatan vakum pintar.
Dua model yang dipertontonkan ini menyasarkan segmen berbeza. Sebuah daripadanya diposisikan sebagai supercar tenaga baharu berprestasi ekstrem, manakala satu lagi menyasarkan kategori kereta sport elektrik berprestasi tinggi.

Model utama, yang juga merupakan model perdana Kosmera, tampil dengan rekaan hadapan yang agresif, menampilkan gril berbentuk ladam kuda yang memberikan identiti eksklusif.
Bukaan penyejukan bersaiz besar di kiri dan kanan bampar hadapan bukan sahaja menyerlahkan imej garang, malah berfungsi menyalurkan aliran udara dengan lebih cekap ke sistem penyejukan.
Rekaan saluran udara khas pada bampar turut membantu mengurangkan rintangan angin sambil meningkatkan kecekapan aerodinamik.
Profil sisi kereta ini menepati formula klasik supercar moden, dengan muncung rendah, tiang-A yang condong tajam serta garis bumbung yang mengalir kemas ke bahagian belakang. Ia turut dilengkapi pemegang pintu tersembunyi, rim dwi-lima jejari serta angkup brek berwarna kuning yang menyerlahkan elemen prestasi.


Di bahagian belakang, rekaan lampu belakang melintang sepenuhnya digandingkan dengan diffuser bersaiz besar dan spoiler belakang yang dramatik.
Menurut laporan media automotif China, Autohome, supercar ini dijangka menghasilkan kuasa sehingga 1,903hp, dengan setiap roda dibekalkan sekitar 476hp.
Kosmera mensasarkan nisbah kuasa kepada berat 1:1, satu angka yang biasanya hanya dikaitkan dengan jentera perlumbaan.
Struktur casis pula dibangunkan menggunakan bahan komposit gred aeroangkasa serta teknologi cetakan 3D bagi memastikan ketegaran kilasan yang tinggi.
Ia turut dipadankan dengan sistem suspensi motor linear aktif yang mampu berubah daripada tetapan selesa kepada mod litar perlumbaan secara automatik.

Model kedua pula berada dalam kategori kereta sport tenaga baharu berprestasi tinggi. Reka bentuk hadapannya menampilkan gril besar berbentuk gelendong dengan elemen krom menegak, digabungkan dengan lampu hadapan yang tirus serta saluran udara yang jelas ketara.
Bahagian sisi menampilkan arca otot yang kuat dengan lengkungan roda lebar serta rim berbilang jejari bersaiz besar.
Di bahagian belakang, model ini turut menggunakan rekaan lampu melintang sepenuhnya, bersama diffuser agresif yang menekankan fokus prestasi.
Satu garisan menegak pada cermin belakang dipercayai bukan sekadar elemen gaya, tetapi turut berperanan dalam meningkatkan aliran udara dan kestabilan pada kelajuan tinggi.
Kemunculan dua model ini membuktikan bahawa pemain dari industri teknologi rumah pintar kini semakin berani melangkah ke dunia automotif berprestasi tinggi, sekali gus mencabar jenama tradisional dalam segmen supercar elektrik global.

