Artikel PilihanBuletin

PELUANG SEWA TOYOTA KLASIK DI JEPUN – KENA TRY SEKALI NI

Lebih kurang 5 tahun lepas kebanyakan syarikat pengeluar kereta melabelkan diri mereka sebagai syarikat mobiliti dan secara perlahan menukar trend dalam industri. Suatu hari nanti mungkin kita tidak lagi perlu membeli kereta seperti sekarang tetapi menggunakan konsep langganan ataupun sewaan untuk tempoh tertentu. Kat Malaysia pun dah ada cuma tak berapa popular lagi. Best juga kan? Boleh selalu tukar-tukar kereta baharu.

Kat Jepun pula pilihannya bertambah menarik kerana Toyota menyediakan kereta-kereta klasik popular mereka untuk tujuan tersebut. Bila lagi nak menyamar jadi hero manga Jepun.

Toyota merupakan antara peneraju konsep ini dan pada tahun 2020 mereka telah melancarkan Kinto, syarikat perkongsian kereta seperti Zipcar di AS yang membolehkan anda menyewa kereta mengikut jam, harian ataupun bulanan. Nak guna untuk tujuan Grab ataupun Uber pun boleh. Bijok boh.

Kinto versi Jepun ni memang sangat-sangat menarik. Banyak betul pilihan model dari Toyota dan Lexus yang sedia untuk anda pilih termasuklah model sport seperti GR86. Pergh, bawak Grab guna GR86 kau. Bukan itu sahaja, untuk kaki kereta pula, Kinto akan melaraskan ECU GR86 yang anda sewa mengikut gaya pemanduan anda berdasarkan data yang dikumpul dari kereta tersebut!

Ia bukannya konsep sewaan semata-mata. Kinto Factory juga menyediakan khidmat pemasangan gajet terkini secara retrofit untuk model-model terpilih. Bayangkan KE20 dengan blind spot monitor. Canggih bukan?

Lagi menarik tentunya Kinto Vintage Club yang menawarkan model Toyota klasik untuk anda. Buat masa sekarang hanya 4 model sahaja disediakan. Mana tahu rezeki anda untuk bergaya di jalan raya Jepun atau pun menuruni Bukit Akina dengan berlagak ala ‘ricer’.

Pilihlah antara Corolla Levin TE27 ataupun Soarer Z10 atau mungkin juga Supra A70 Turbo. Tambahan terbaru ialah sebuah Celica Liftback. Ada antaranya sudah pun dilengkapi dengan RS Watanabe dan roda stereng Nardi. Boleh sangat la sewa lepas tu join sesi teh tarik kat sana.

Buat masa sekarang kereta-kereta klasik Toyota ini berada di Toyota City, Aichi Prefecture sehingga 31 Oktober. Kemudian ia akan dipindahkan ke GR Garage di Mitaka, Tokyo. Jadi kalau anda ada rancangan nak ke Jepun, rancang perjalanan betul-betul. Ini mungkin cara terbaik untuk menyelami budaya kereta di Jepun.

Google ads
Back to top button