
KEI CAR EV CHERY BAKAL GEGAR JEPUN, SEDIA CABAR BYD
Chery dilaporkan bakal memasuki pasaran kenderaan mini Jepun menerusi jenama baharu Emta, hasil kerjasama beberapa syarikat automotif dan teknologi dari China serta Jepun.
Model pertama mereka dijangka diperkenalkan pada 2027 bagi mencabar kehadiran BYD Racco dalam segmen kei car elektrik di negara itu.
Emta diasaskan di bawah syarikat berpangkalan di Singapura, Electric Mobility Technologies (EMT), dengan penglibatan Chery Automobile, Jiangsu Yueda Automobile Group, Autobacs Seven, Gotion dan Anest.
Dalam kerjasama ini, Chery bertindak sebagai penyedia teknologi utama termasuk platform, sistem pacuan elektrik dan teknologi bantuan pemanduan.

Pengeluaran kenderaan Emta pula akan dilakukan di kilang Yancheng milik Yueda di China, yang sebelum ini pernah menghasilkan model Kia dan HiPhi.
Bateri untuk model Emta akan dibekalkan oleh Gotion, manakala Autobacs Seven bertanggungjawab mengendalikan saluran jualan di Jepun. Anest pula memainkan peranan dalam kawalan dan sokongan kualiti.
Walaupun Chery memiliki pegangan dalam syarikat itu, pihak pengurusan menegaskan pengeluar automotif China tersebut tidak terlibat secara langsung dalam operasi harian Emta.
Menariknya, pembangunan konsep dan reka bentuk kenderaan Emta dipimpin oleh pasukan Jepun yang mempunyai pengalaman bersama Honda dan Mazda.

Ketua pegawai pemasaran Emta ialah bekas pengurus besar Nissan China, Susumu Uchikoshi, manakala jawatan CEO disandang bekas presiden Changan Ford, He Xiaoqing.
Model pertama Emta tampil sebagai sebuah kei car elektrik berbentuk kotak dan dipercayai menggunakan nama sementara “#01”, berdasarkan tulisan pada pintu prototaip tersebut.
Dari segi reka bentuk, ia menyerupai versi lima pintu Chery QQ Ice Cream yang pernah dilancarkan di China sebelum ini.
Kenderaan itu menampilkan lampu hadapan berbentuk petak, tiang berwarna hitam dan bampar minimalis. Cermin sisi yang sangat kecil turut menimbulkan spekulasi bahawa ia sebenarnya menggunakan kamera digital.
Saiznya mematuhi peraturan kei car Jepun dengan panjang sekitar 3.4 meter dan lebar 1.48 meter. Emta turut mendakwa model tersebut menawarkan tahap keselamatan perlanggaran setanding kenderaan lebih besar.
Bagaimanapun, spesifikasi penuh, varian serta harga rasmi masih belum diumumkan setakat ini.
Selain model #01, Emta turut merancang memperkenalkan tiga lagi model menjelang 2029, termasuk hatchback, SUV dan MPV kompak.
Sekiranya mendapat sambutan baik di Jepun, syarikat itu turut mempertimbangkan pembinaan kilang pemasangan di negara tersebut selepas 2030.
Kehadiran Emta juga bakal menambah persaingan antara Chery dan BYD yang kini bersaing sengit untuk gelaran pengeksport automotif terbesar China.
Pada April 2026, BYD mencatat eksport lebih 135,000 kenderaan, manakala Chery merekodkan sekitar 177,000 unit.









