
TOYOTA HILUX 2026 RASMI DI JEPUN, AKSESORI GR PARTS DAN MODELLISTA JADI TARIKAN
Toyota akhirnya membawa masuk Hilux generasi kesembilan ke pasaran Jepun selepas model itu diperkenalkan secara global pada November 2025.
Walaupun reka bentuk baharu, kabin dipertingkat serta casis ladder-frame lebih kukuh sudah diketahui sebelum ini, perhatian kini tertumpu kepada pilihan aksesori rasmi daripada Modellista dan GR Parts yang ditawarkan terus di bilik pameran.
Modellista tampil dengan konsep “Sophisticated Gear” yang memberi sentuhan lasak moden kepada pikap popular itu. Antara perubahan yang diperkenalkan termasuk kemasan hitam pada bonet, sekitar lampu hadapan dan pintu belakang, selain tambahan elemen LED pada bampar.

Hilux versi Modellista turut menerima pelindung bawah badan depan dan belakang, penutup ruang kargo jenis hard tonneau dengan rekaan aerodinamik serta rim aloi 18-inci berwarna matte olive bersama sentuhan kemasan berkilat.
Toyota turut menawarkan aksesori tambahan lain seperti pelindung pemegang pintu, cermin gelap, lampu dalaman LED, pelindung matahari serta kusyen khas Modellista yang boleh dijadikan beg tote.
Bagi peminat gaya lebih sporty, GR Parts menyediakan beberapa komponen khas termasuk gril honeycomb hitam, mud flap berlogo GR dalam pilihan merah atau hitam, visor aerodinamik dan sistem ekzos berkembar keluli tahan karat.

Walaupun Toyota masih belum mengesahkan kemunculan Hilux GR Sport baharu, pemilik model standard sudah boleh mendapatkan peningkatan prestasi melalui Performance Dampers dan Door Stabilizers daripada GR Parts yang dikatakan membantu mengurangkan getaran serta meningkatkan kestabilan pemanduan.
Toyota juga menawarkan pakej “Adventure Starter Set” yang mengandungi bed liner, emblem tailgate baharu, roof crossbar dan tailgate damper untuk kegunaan lebih praktikal.
Untuk pasaran Jepun, Hilux hanya ditawarkan dengan enjin diesel 2.8-liter empat silinder tanpa sistem hibrid, dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan dan sistem pacuan empat roda separuh masa standard.

Berbeza dengan Thailand yang menawarkan pelbagai konfigurasi termasuk single-cab dan pacuan dua roda, pelanggan Jepun hanya menerima versi dwi-kabin 4WD.
Namun begitu, spesifikasinya agak lengkap dengan paparan berkembar 12.3-inci, stereng kuasa elektrik, upholsteri kulit sintetik dan sistem keselamatan Toyota Safety Sense terkini.
Varian tertinggi Z Adventure pula tampil lebih garang menerusi bampar depan khusus, skid plate lebih besar, sports bar, bantuan tailgate, rim hitam bersama tayar lebih agresif serta kemasan dalaman Mineral.
Harga Hilux baharu di Jepun bermula dari ¥4,980,800 (sekitar RM124,452) bagi varian Z, manakala varian Z Adventure ditawarkan pada harga ¥5,500,000 (sekitar RM137,425).
- BACA: TREN TERGELINCIR DI STESEN CHAN SOW LIN: KERJA BAIK PULIH MASIH BERJALAN
- BACA: KEI CAR EV CHERY BAKAL GEGAR JEPUN, SEDIA CABAR BYD
- BACA: BYD DOLPHIN G DM-i DIDEDAHKAN, HATCHBACK PHEV 1,000KM UNTUK PASARAN EROPAH
- BACA: TOYOTA GR YARIS EDISI EKSKLUSIF DILANCARKAN – TERHAD 100 UNIT, PEMBELI DIPILIH MENERUSI LOTERI









