
TOYOTA GR 86 BERWAJAH AE86, KEMBALI DENGAN LAMPU POP-UP IKONIK
Berbeza generasi, namun DNA asasnya tetap sama. Toyota 86 generasi awal dan GR 86 moden sebenarnya berkongsi warisan daripada legenda AE86 Trueno era 1980-an, terutama falsafah pacuan roda belakang serta karakter ringan dan lincah.
Cuma satu elemen ikonik yang tidak diwarisi ialah lampu hadapan pop-up yang suatu ketika dahulu menjadi identiti kuat AE86.
Jurang itulah yang kini diisi oleh penala Jepun, Result Japan. Menerusi kit gaya baharu mereka, imej klasik AE86 dihidupkan semula pada platform moden, bukan sebagai projek restomod penuh, tetapi sebagai sebuah tafsiran retro yang dibina dari sudut pandang masa kini.

Dikenali sebagai kit Neo86, perubahan paling ketara tertumpu pada bahagian hadapan. Bonet direka lebih rata, digandingkan dengan lampu pop-up yang berfungsi sepenuhnya serta bampar bergaya klasik.
Bampar berwarna hitam itu menempatkan lampu isyarat kuning dan lampu kabus, jelas memberi sentuhan nostalgia era lewat abad ke-20.
Transformasi diteruskan dengan fender hadapan dan belakang yang dilebarkan, diserlahkan lagi oleh sambungan bolt-on berkemasan hitam berkilat. Spoiler bibir hadapan dan skirt sisi melengkapkan siluet keseluruhan.

Model pameran pula tampil dengan livery hitam putih serta rim bergaya retro, secara langsung mengingatkan kepada rim lapan jejari AE86 asal.
Walaupun sarat elemen klasik, bentuk badan asas Toyota 86 masih dikekalkan dengan garisan lebih bulat dan moden. Di bahagian belakang, Result Japan menambah beberapa perincian bagi menyatukan tema keseluruhan, termasuk spoiler ducktail, lampu belakang LED aftermarket serta bampar belakang yang direka semula untuk menyerlahkan paip ekzos berkembar.
Secara asasnya, pakej Neo86 lebih menumpukan aspek visual. Namun, ia boleh digabungkan dengan naik taraf prestasi dan casis mengikut citarasa pemilik.

Dalam keadaan standard, Toyota 86 dikuasakan enjin boxer empat silinder 2.0 liter aspirasi semula jadi yang menghasilkan 197hp, dengan pilihan transmisi manual atau automatik enam kelajuan, semuanya memacu roda belakang.
Neo86 dijadual membuat kemunculan umum pertamanya di Tokyo Auto Salon 2026 pada 9 Januari, serentak dengan pembukaan pra-tempahan.
Harga masih belum diumumkan dan dijangka didedahkan selepas pameran tersebut.
Menariknya, Result Japan mengesahkan kit ini tidak terhad untuk pasaran Jepun sahaja. Ia dirancang untuk ditawarkan secara global dan, berdasarkan prototaip yang dipertontonkan, kit ini serasi dengan pelbagai model berkongsi platform sama, termasuk Toyota 86, GT 86, Scion FR-S serta Subaru BRZ generasi pertama.
- BACA: ERA BYD SONG PLUS BERAKHIR DI CHINA, SEALION 06 AMBIL ALIH
- BACA: THOMAS INGENLATH DIBAWA BALIK KE VOLVO, DILANTIK KETUA PEGAWAI REKA BENTUK
- BACA: MITSUBISHI DELICA MINI DAN D:5 BAKAL JADI BINTANG DI TOKYO AUTO SALON 2026
- BACA: HYUNDAI UMUM STRATEGI ROBOTIK AI: LABUR RM122 BILION, SASAR PENGELUARAN 30,000 HUMANOID








