
PEROMPAK PROFESIONAL BAYAR PARKIR LEPAS SELESAI CURI EMAS 30 JUTA POUND
Inilah detik lucu dan pelik apabila sekumpulan perompak bank mempamerkan “kesopanan jenayah” apabila membayar caj parkir, hanya beberapa saat selepas melarikan wang bernilai jutaan dalam salah satu rompakan terbesar dalam sejarah Jerman.
Minggu lalu, sekumpulan pencuri menggerudi masuk ke bilik kebal Bank Sparkasse di Buer, sebuah kawasan pinggir bandar Gelsenkirchen, dan melarikan barangan bernilai kira-kira £30 juta, termasuk emas, wang tunai, barang kemas dan harta peribadi pelanggan.
Mereka memasuki bangunan melalui kawasan tempat letak kereta sebelum membuka beberapa pintu dan menebuk dinding konkrit bilik kebal setebal 18 inci menggunakan gerudi setebal 42 sentimeter.
Rakaman video menunjukkan seorang lelaki bertopeng, memakai baju kelabu dan balaclava, dengan tenang memasukkan syiling ke dalam meter parkir satu demi satu. Berbeza dengan bayaran digital, bayaran manual tidak bolej dikesan
Beberapa saat kemudian, lelaki itu kembali semula untuk memasukkan lebih banyak syiling, memastikan jumlah bayaran parkir yang dikenakan benar-benar mencukupi. Dalam satu klip lain, seorang lagi ahli kumpulan tersebut kelihatan mengangkat palang parkir untuk membolehkan rakannya melarikan diri menggunakan sebuah van Mercedes berwarna putih.
Tidak lama selepas itu, dia melakukan perkara yang sama sekali lagi bagi membenarkan sebuah kereta hitam masuk ke dalam kompleks parkir tersebut. Pihak berkuasa mendedahkan bahawa klip-klip ini pada asalnya dikongsi dalam satu kumpulan WhatsApp yang ditubuhkan oleh mangsa-mangsa rompakan berkenaan.

Sekurang-kurangnya 2,500 pelanggan Sparkasse terjejas, dengan pihak bank menasihatkan pelanggan supaya menganggap barangan mereka telah dicuri. Pecah masuk itu tidak dikesan selama beberapa hari, dan polis hanya dimaklumkan pada pagi Isnin selepas penggera kebakaran berbunyi di dalam bank.
Penyiasat percaya rompakan tersebut berlaku semasa cuti Krismas atau pada hujung minggu sebelumnya. Apabila pasukan kecemasan tiba di lokasi, mereka menemui lubang besar yang digerudi menembusi dinding bilik kebal.
Menurut siasatan awal, kumpulan bertopeng yang terdiri daripada dua atau tiga orang itu memasuki bank melalui garaj parkir. Sebaik berada di dalam, mereka menggunakan peralatan profesional untuk menggerudi dinding konkrit bertetulang bagi mendapatkan akses ke bilik kebal.
Selepas berjaya menembusi bilik kebal, kumpulan tersebut kemudian mengosongkan sebahagian besar daripada 3,300 peti simpanan keselamatan yang disewa oleh kira-kira 2,700 pelanggan, dan proses itu dipercayai berlangsung selama beberapa jam.
Pakar menganggarkan keseluruhan operasi rompakan tersebut mengambil masa antara dua hingga empat jam untuk diselesaikan.

Beberapa saksi mendakwa mereka melihat sekumpulan lelaki membawa beg-beg besar melalui tangga di kawasan parkir yang bersambung sebelum menaiki sebuah Audi RS6 berwarna hitam dengan plat nombor Hanover yang dicuri, pada malam Sabtu.
Setiap peti simpanan keselamatan diinsuranskan sehingga €10,300, bermakna jumlah tuntutan insurans keseluruhan boleh mencecah sehingga €33,990,000 (sekitar £30 juta), menurut laporan akhbar Bild.



