Buletin

PROTON e.MAS 5 MULAKAN ‘JELAJAH MISI 5’ SELURUH NEGARA

Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), anak syarikat PROTON yang memfokuskan kepada kenderaan tenaga baharu, telah memulakan Jelajah MISI 5, sebuah pengembaraan ke seluruh negara bagi memperkenalkan model EV terbaharu mereka, Proton e.MAS 5.

Kenderaan elektrik mampu milik ini dijangka dilancarkan secara rasmi menjelang hujung tahun 2025.

Bermula Ogos hingga Oktober, Jelajah MISI 5 akan merentasi lima wilayah utama, Lembah Klang, Utara, Selatan, Pantai Timur serta Sabah dan Sarawak, dalam usaha membawa pengalaman EV terus kepada rakyat Malaysia.

Model e.MAS 5 akan dipamerkan di lokasi tumpuan awam dan bilik pameran rasmi e.MAS terpilih, membolehkan orang ramai melihat sendiri teknologi, reka bentuk serta ciri pintar yang ditawarkan sebelum pelancaran rasminya.

Jelajah ini turut mengetengahkan aspek gaya hidup harian rakyat Malaysia, di mana e.MAS 5 diposisikan sebagai kenderaan serba boleh yang sesuai untuk semua – dari anak hinggalah kepada keluarga.

Dengan kabin yang luas, ruang simpanan fleksibel, ciri pra-penyejukan kabin, serta teknologi pengecasan pantas, model ini direka untuk memudahkan kehidupan moden.

Setiap hentian jelajah turut diserikan dengan kehadiran pempengaruh terkenal yang akan mempamerkan keupayaan e.MAS 5 dalam pelbagai konteks.

Di Lembah Klang, pereka fesyen dan personaliti TV Karl Shafek akan menukar e.MAS 5 menjadi studio solekan bergerak sempena KL Fashion Week. Di bahagian Selatan, Johan Eskandar akan menjelajah tapak warisan budaya bersama kucing peliharaannya.

Seterusnya di Utara, personaliti makanan Soyabelacan akan memasak juadah istimewa menggunakan ruang hadapan storan kenderaan ini.

Manakala di Pantai Timur, pelukis mural Zameer Paintbrush akan menghasilkan karya seni secara langsung di atas badan e.MAS 5.

Di Sabah dan Sarawak pula, Ain Ramli, pencipta kandungan berkonsepkan cabaran dan seram, akan menjadikan e.MAS 5 sebagai platform siaran langsung yang menguji ketahanan dan kebolehan teknologi EV tersebut.

Jelajah MISI 5 dimulakan di Lembah Klang dengan penampilan khas di beberapa lokasi ikonik pada 15 Ogos seperti Batu Caves, Masjid Putra, Pasar Seni, KLCC dan Jambatan Saloma.

Sebelum itu, mulai 9 Ogos hingga 17 Ogos, Proton e.MAS 5 akan turut dipamerkan di beberapa bilik pameran terpilih sekitar Lembah Klang bagi memberi peluang kepada pengunjung menyaksikannya dalam suasana lebih dekat dan eksklusif.

Dari situ, jelajah akan diteruskan ke wilayah Utara melibatkan negeri Pulau Pinang, Perak dan Kedah dari 21 hingga 25 Ogos. Seterusnya, pada 4 hingga 8 September, ia akan berlangsung di Pantai Timur yang melibatkan Pahang, Terengganu dan Kelantan.

 Wilayah Selatan pula bakal menerima kehadiran e.MAS 5 di Johor dari 13 hingga 15 September, diikuti Negeri Sembilan dan Melaka pada 20 dan 21 September.

Jelajah ini akan berakhir di Malaysia Timur dengan acara di Sarawak dari 25 hingga 28 September dan seterusnya di Sabah dari 3 hingga 5 Oktober.

Melalui Jelajah MISI 5, PRO-NET bukan sahaja mahu memperkenalkan e.MAS 5 sebagai EV mampu milik, tetapi juga mahu mendekatkan rakyat Malaysia kepada era mobiliti baharu dengan pendekatan lebih inklusif, praktikal serta penuh gaya.

Google ads
Back to top button