
BAYAR AWAL ATAU TEMPAHAN DIBATALKAN – TAKTIK XIAOMI CETUS KONTROVERSI
Beberapa pelanggan kenderaan elektrik Xiaomi meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial apabila mendakwa diminta untuk melunaskan baki bayaran pembelian lebih awal, beberapa minggu malah berbulan sebelum tarikh penghantaran dijadualkan.
Tindakan itu dilihat bertentangan dengan kenyataan rasmi syarikat sebelum ini yang menyatakan bahawa pelanggan boleh membuat pembayaran akhir selepas memeriksa kenderaan mereka.
Menurut laporan daripada portal teknologi dan automotif China, Sina Tech dan Auto Sohu, wakil jualan Xiaomi memaklumkan kepada pelanggan yang sudah membayar deposit bahawa pengeluaran kenderaan mereka akan “digantung” dan jadual penghantaran asal tidak lagi terpakai melainkan mereka menjelaskan baki bayaran dalam tempoh 30 hari.
Lebih mengejutkan, ada pelanggan mendakwa kenderaan mereka masih memerlukan masa antara 22 hingga 25 minggu lagi untuk disiapkan, namun mereka telah menerima notis pembayaran yang disertakan dengan amaran: kegagalan untuk membuat bayaran boleh menyebabkan pembatalan tempahan dan kehilangan deposit sebanyak 5,000 yuan (kira-kira RM3,300).

Apabila dihubungi oleh Sina Tech untuk mendapatkan maklum balas, pihak Xiaomi enggan mengulas lanjut.
Kontroversi ini dipercayai berpunca daripada kandungan perjanjian jual beli Xiaomi sendiri, yang menetapkan bahawa pelanggan perlu melunaskan bayaran penuh dalam masa tujuh hari selepas menerima notis pembayaran.
Syarikat juga berhak mengeluarkan notis ini pada bila-bila masa, berdasarkan “penjadualan pengeluaran atau situasi jualan”, dan menganggap kegagalan membayar sebagai “pelanggaran kontrak asas” yang membolehkan mereka membatalkan tempahan serta menyimpan deposit pelanggan.
Pelanggan mempersoalkan sama ada syarat dalam perjanjian tersebut adalah adil, memandangkan ia perlu diterima bagi membolehkan urusan pembelian diteruskan.
Apa yang lebih menimbulkan tanda tanya ialah kenyataan terdahulu dalam akaun rasmi Xiaomi di platform WeChat, yang menyatakan bahawa pelanggan dibenarkan membuat bayaran baki selepas melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan mereka, sesuatu yang jelas bercanggah dengan amalan semasa.
Sebagai perbandingan, pengeluar kenderaan elektrik lain seperti Tesla dan Nio membenarkan pelanggan memeriksa kenderaan sebelum membuat bayaran penuh, manakala pengeluar tradisional seperti BYD dan Geely lazimnya menggunakan model bayaran pendahuluan dengan baki dilangsaikan semasa penghantaran.
- BACA: LEBIH 80% KEMALANGAN JALAN RAYA DISEBABKAN SIKAP PEMANDU
- BACA: TOYOTA GAZOO RACING MALAYSIA VIOS CHALLENGE PUSINGAN 3 BAKAL TENTUKAN JUARA MUSIM 2025
- BACA: MALAYSIA CATAT JUALAN KENDERAAN SUKU TAHUNAN TERTINGGI DI ASEAN, ATASI INDONESIA BUAT KALI PERTAMA
- BACA: RASMI: VESPA SPRINT S DAN PRIMAVERA S DILANCARKAN – DARI RM19,500








