
FERRARI HABIS TAHUN 2027, NAK BELI KENA TUNGGU 2028
Kalau anda bercadang mahu membeli sebuah Ferrari baharu, bersedialah untuk menunggu agak lama. Pengeluar kereta sport dari Maranello itu mengesahkan bahawa buku pesanannya kini sudah penuh sehingga penghujung tahun 2027.
Ini bermakna pelanggan yang membuat tempahan sekarang berkemungkinan hanya akan menerima kereta mereka mulai tahun 2028. Ketua Pegawai Eksekutif Ferrari, Benedetto Vigna berkata permintaan terhadap produk syarikat kekal kukuh di semua rantau, sekali gus membolehkan Ferrari menerima tempahan yang tinggi untuk beberapa tahun akan datang.
Situasi tersebut sebenarnya bukan sesuatu yang luar biasa bagi Ferrari. Berbeza dengan pengeluar massa yang cuba menghasilkan sebanyak mungkin kenderaan untuk memenuhi permintaan, Ferrari sejak sekian lama mengamalkan strategi mengehadkan pengeluaran bagi mengekalkan eksklusiviti produknya.
Malah, jumlah penghantaran Ferrari sepanjang enam bulan pertama 2026 sebenarnya menurun. Ferrari menghantar sebanyak 6,802 unit kenderaan dalam tempoh tersebut, berkurangan 285 unit berbanding 7,087 unit yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.
Bagi suku kedua 2026 sahaja, Ferrari menghantar 3,366 unit kenderaan, turun 128 unit berbanding 3,494 unit pada suku kedua 2025. Penurunan itu sebahagiannya disebabkan proses pertukaran barisan model yang sedang berlangsung. Ferrari kini meningkatkan pengeluaran beberapa model baharu termasuk Amalfi, 849 Testarossa dan 296 Speciale serta 296 Speciale A dan penghantaran hypercar F80 juga sedang dipertingkatkan.
Pada masa sama, beberapa model seperti 296 GTS, Roma Spider serta keluarga SF90 XX sedang melalui fasa akhir kitaran produk masing-masing. Purosangue pula kini menerima pilihan Handling Speciale, manakala 12Cilindri Manuale yang diperkenalkan dengan sistem pertukaran gear manual simulasi menggunakan gated shifter dilaporkan sudah habis ditempah. Tetapi walaupun jumlah kereta yang dihantar lebih rendah, prestasi kewangan Ferrari terus meningkat.
Pada suku kedua 2026, Ferrari merekodkan hasil sekitar €1.94 bilion (kira-kira RM9 bilion), meningkat lebih lapan peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Keuntungan operasi atau EBIT pula mencecah €605 juta dan Ferrari turut menaikkan unjuran kewangan bagi keseluruhan 2026 dengan hasil kini dijangka sekitar €7.6 bilion, manakala adjusted EBIT disasarkan sekurang-kurangnya €2.26 bilion.
Salah satu faktor penting yang menyumbang kepada keuntungan Ferrari ialah program personalisasi. Pelanggan Ferrari sememangnya terkenal sanggup membayar lebih untuk mendapatkan warna, bahan kemasan dan spesifikasi khas pada kereta masing-masing.
Dari segi pasaran, rantau Eropah, Timur Tengah dan Afrika (EMEA) terus memainkan peranan penting dengan menyumbang hampir separuh daripada keseluruhan penghantaran Ferrari.
Komposisi trenkuasa juga menunjukkan enjin pembakaran dalaman masih mendominasi. Sekitar 70 peratus Ferrari yang dihantar menggunakan enjin pembakaran dalaman, sementara baki 30 peratus merupakan model hibrid. Dalam masa sama, Ferrari sedang memperluaskan portfolio produknya.
Antara model terbaharu ialah Amalfi Spider, 12Cilindri Manuale serta Luce, model elektrik pertama dalam sejarah Ferrari. Ferrari bagaimanapun tidak memperincikan jumlah keseluruhan tempahan Luce dalam laporan keputusan kewangan terbaharunya, walaupun Vigna menyatakan terdapat permintaan terhadap model elektrik berkenaan.
Syarikat itu merancang memperkenalkan lima model sepanjang 2026 sebagai sebahagian daripada pembaharuan barisan produknya. Ferrari juga mempunyai F80 sebagai model halo terbaharu jenama itu, sementara sebuah prototaip yang dipercayai merupakan versi bumbung terbuka F80 Aperta telah dikesan sedang menjalani ujian. Bagaimanapun, model tersebut masih belum diumumkan secara rasmi.
Apa yang lebih menarik ialah kejayaan Ferrari memenuhi buku tempahan sehingga penghujung 2027 berlaku ketika syarikat itu tidak mengejar angka jualan tinggi.
Ferrari menghasilkan sekitar 13,640 kereta sepanjang 2025, malah jumlah tersebut sedikit lebih rendah berbanding tahun sebelumnya kerana syarikat mengurus pengeluaran selaras dengan proses pertukaran model.
Berdasarkan buku tempahan semasa, strategi itu nampaknya masih berkesan. Pelanggan yang mahu membeli sebuah Ferrari baharu hari ini bukan sahaja perlu mempunyai wang yang mencukupi, malah perlu bersedia menunggu sehingga sekurang-kurangnya tahun 2028 untuk mendapatkannya.







