Buletin

DUA PESERTA RXZ MEMBER 8.0 MAUT DALAM NAHAS BERASINGAN DI LPT

Polis Pahang mengesahkan dua insiden kemalangan maut membabitkan peserta Perhimpunan RXZ Member 8.0 di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), berhampiran Maran, pagi tadi.

Ketua Polis Maran, Supt Wong Kim Wai berkata, nahas pertama berlaku kira-kira 6.30 pagi tadi di Kilometer (KM) 184.9 LPT arah Kuantan berhampiran susur tol Sri Jaya ke Gambang, membabitkan sebuah motosikal Yamaha 125zr yang terbabas akibat hilang kawalan.

Mangsa, seorang lelaki yang berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa dari Kuala Lumpur hendak ke Kuala Terengganu untuk menghadiri Perhimpunan RXZ Member 8.0.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, motosikal telah hilang kawalan dan terbabas kemudian jatuh di lorong kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa yang gagal mengawal motosikal yang ditunggangnya.

Sehingga kini tiada saksi yang tampil bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) APJ 1987. Punca sebenar kemalangan masih lagi dalam siasatan pihak polis.

Sehubungan itu, pihak polis memohon bantuan orang ramai atau saksi yang melihat kemalangan tersebut untuk tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik IPD Maran, Insp. Nurhafizul Abd Halim, di talian 010-5752075 atau hadir ke balai polis yang berhampiran.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Kim Wai berkata, pihak IPD Maran menerima laporan orang awam berhubung satu lagi kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y125zr dan kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Trition di KM147.1 LPT arah Kuantan, kira-kira 10.10 pagi tadi.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa penunggang motosikal dari Temerloh hendak ke Kuala Terengganu untuk menghadiri Perhimpunan RXZ Members 8.0.

Apabila tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal berkenaan melanggar belakang Mitsubishi Triton yang juga dalam perjalanan ke Perhimpunan RXZ Member 8.0 tetapi sedang berhenti di lorong kecemasan untuk membantu ahli konvoi yang mengalami kerosakan motosikal.

Akibat rempuhan tersebut, penunggang motosikal Yamaha Y125zr itu terbabas dan jatuh ke atas jalan raya.

Penunggang motosikal berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu Mitsubishi Triton serta penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Sehingga kini tiada saksi yang tampil bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) apj 1987. Punca sebenar kemalangan masih lagi dalam siasatan pihak polis,” kata Kim Wai.

Sehubungan itu, pihak polis memohon bantuan orang ramai atau saksi yang melihat kemalangan tersebut untuk tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik IPD Maran, Insp Muhaimin Omar di talian 017-9436741 atau hadir ke balai polis yang berhampiran. – MalaysiaGazette

Google ads
Back to top button