Buletin

QJMOTOR SRK 921 RR SAH MASUK MALAYSIA 

Walaupun baru sahaja diperkenalkan di pasaran China awal Januari lalu namun kami diberitahu bahawa QJMOTOR SRK 921 RR akan turut dipasarkan di Malaysia. 

Menurut sumber, motosikal segmen ‘sportsbike’ itu akan masuk ke pasaran tahun ini namun tarikh spesifik tidak dinyatakan. 

QJMOTOR SRK 921 RR merupakan antara model yang mencuri tumpuan kerana dibangunkan dari platform MV Agusta Brutale 1000 keluaran 2010. 

Berbeza dengan model konsep SRK 1000 RR yang dipamerkan di EICMA 2023, SRK 921RR ini tampil dengan reka bentuk yang mirip dengan SRK 600 RR dan SRK 800 RR . 

Meskipun begitu, SRK 921 RR ini lebih unik dengan kehadiran ekzos empat lubang dan ‘swingarm’ jenis ‘single-sided’ mirip MV Agusta. 

Dalam pada itu, enjin 4-silinder 921cc pada 921RR ini telah ditala semula bagi menghasilkan 129hp pada 10,000rpm dan 93Nm pada 8,000rpm. Untuk rekod, unit 921cc ini dibangunkan dari platform 1,000cc yang diguna pakai pada MV Agusta Brutale versi 2010 namun dengan ‘bore’ dan ‘stroke’ diubah kepada 73mm x 55mm dari 79mm x 50.9mm. 

Berdasarkan angka tersebut jelas menunjukkan SRK 921RR ini bukan sahaja sebuah jentera berprestasi tinggi malah turut menawarkan tork yang efisien. 

Selain itu, 921RR ini juga hadir dengan ciri premium yang pelbagai termasuk:

  • 6-axis IMU
  • traction control
  • cornering ABS
  • kamera papan pemuka
  • TPMS (tyre pressure monitoring system)

Menariknya, model ini juga dilengkapi dengan kelengkapan premium termasuk brek Brembo Stylema, ‘suspensi boleh laras dari Marzocchi dan ‘steering damper’. Dari segi berat, QJMOTOR meletakkan 921RR ini pada 215kg dengan tangki isian penuh 16L. 

Bagi pasaran China, SRK 921 RR ini dijual pada harga CNY69,999 (RM47k). 

Google ads
Back to top button