
DEWAN RAKYAT LULUS RUU SEWA BELI (PINDAAN) 2025, MANSUH PERATURAN 78
Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Sewa Beli (Pindaan) 2025 yang membawa perubahan besar terhadap cara pengiraan faedah pinjaman sewa beli di Malaysia.
Melalui pindaan ini, sistem kadar faedah rata dan kaedah “Rule of 78” akan dimansuhkan, digantikan dengan kaedah baki menurun menggunakan Kadar Faedah Efektif (Effective Interest Rate – EIR).
Langkah ini bertujuan memastikan pengguna mendapat gambaran sebenar mengenai jumlah kos pembiayaan dan mengelak caj faedah berlebihan, terutamanya apabila pinjaman dilunaskan lebih awal daripada jadual asal.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pendekatan baharu ini akan menjadikan pengiraan faedah lebih adil serta seiring dengan amalan kewangan moden.

Beliau menjelaskan bahawa kadar EIR kini diwajibkan untuk didedahkan kepada pengguna, termasuk dalam proses promosi dan sebelum perjanjian sewa beli ditandatangani.
Menurut pindaan yang diluluskan, kadar faedah maksimum bagi pinjaman sewa beli kadar tetap akan dihadkan kepada 17% setahun untuk tempoh sehingga lima tahun, dan 16% setahun bagi tempoh melebihi lima tahun. Bagi pinjaman kadar berubah, had maksimum kekal pada 17% setahun.
Armizan turut menegaskan bahawa pindaan ini melengkapi Akta Kredit Pengguna 2025, yang digubal bagi memperkukuh perlindungan terhadap pengguna kredit dan memastikan persekitaran pembiayaan lebih telus serta berdaya saing.
Rang undang-undang ini turut membuka ruang kepada penggunaan kaedah digital dalam urusan sewa beli, selain menyesuaikan kadar asas pinjaman mengikut Rangka Kerja Kadar Rujukan yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia.
Institusi kewangan dan penyedia pembiayaan diberi tempoh penyesuaian selama 18 bulan selepas undang-undang ini diwartakan bagi menaik taraf sistem mereka sebelum melaksanakan kaedah baharu ini sepenuhnya.
Bagaimanapun, beberapa ahli Parlimen mencadangkan agar tempoh penyesuaian tersebut dipendekkan supaya pelaksanaan sistem baharu dapat disegerakan.
Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, misalnya, berpandangan institusi kewangan sudah memiliki sistem komputer yang boleh disesuaikan dengan mudah, justeru tempoh enam hingga 12 bulan dianggap lebih munasabah.
Selain itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, turut meminta penjelasan berhubung sama ada institusi kewangan masih boleh menggunakan kaedah lama sepanjang tempoh peralihan serta bagaimana pengguna akan dimaklumkan mengenai kaedah pengiraan yang digunakan.
Menjawab perkara tersebut, Armizan menjelaskan bahawa tempoh 18 bulan itu hasil perbincangan bersama pelbagai pihak berkepentingan.
Namun begitu, beliau tidak menolak kemungkinan tempoh itu dikaji semula sekiranya pelaksanaan dapat dipercepatkan dengan persetujuan Bank Negara dan Kementerian Kewangan.
Pindaan kepada Akta Sewa Beli 1967 ini disifatkan sebagai langkah penting untuk memperkukuh hak pengguna dan meningkatkan ketelusan dalam sektor pembiayaan negara, selaras dengan hasrat kerajaan mewujudkan sistem kredit yang lebih saksama dan berintegriti. – The Edge Malaysia
- BACA: MERCEDES-BENZ MALAYSIA DAN DC HANDAL PERLUAS INFRASTRUKTUR PENGECASAN EV DI BAMBOO HILLS
- BACA: MAZDA PERKENAL XD DRIVE EDITION DIESEL EKSKLUSIF UNTUK 5 MODEL, GUGUR BEBERAPA VARIAN
- BACA: MAJIKAN TIDAK BOLEH ARAH PEKERJA GUNA PETROL BUDI95 UNTUK KENDERAAN SYARIKAT
- BACA: PIAM: SESETENGAH EV TIDAK BOLEH DIPERBAIKI SELEPAS KEMALANGAN



