Buletin

MERCEDES-BENZ MALAYSIA DAN DC HANDAL PERLUAS INFRASTRUKTUR PENGECASAN EV DI BAMBOO HILLS

Mercedes-Benz Malaysia baru-baru ini mengumumkan kerjasama strategik dengan penyedia infrastruktur pengecasan dan penyelesaian tenaga tempatan, DC Handal, bagi membuka hab pengecasan kenderaan elektrik (EV) baharu di Bamboo Hills, Kuala Lumpur.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan jenama mewah Jerman itu untuk memperluas rangkaian pengecasan di seluruh negara sambil menyokong aspirasi Malaysia ke arah penggunaan kenderaan elektrik secara meluas.

Projek ini turut direalisasikan dengan kerjasama rakan pengedaran utama Mercedes-Benz Malaysia, Hap Seng Star.

Dengan pembukaan hab pengecasan di Bamboo Hills, Mercedes-Benz Malaysia berhasrat meningkatkan kemudahan dan kebolehcapaian kepada pemilik EV.

Lokasi ini kini menjadi tapak pengecasan keenam yang membawa jenama Mercedes-Benz di Malaysia, melengkapi rangkaian sedia ada yang dibangunkan bersama pengendali terkemuka seperti JomCharge, ChargeEV, Gentari serta P.UP.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Mercedes-Benz Malaysia, Amanda Zhang, berkata kolaborasi ini memperkukuh komitmen syarikat terhadap pembangunan ekosistem EV yang pintar dan menyeluruh di negara ini.

“Dengan Bamboo Hills, kami mempercepatkan langkah ke arah era di mana prestasi, inovasi dan kelestarian bergabung. Kerjasama dengan DC Handal dan Hap Seng Star mencerminkan komitmen strategik kami untuk mempertingkatkan infrastruktur pengecasan yang menyokong pemilik EV Mercedes-Benz di Malaysia, sejajar dengan strategi global Ambition 2039 kami menuju mobiliti mampan,” katanya.

Mercedes-Benz Malaysia kini melaksanakan strategi berbilang saluran dalam memperluas rangkaian pengecasan yang merangkumi pemasangan di kediaman, pusat jualan, destinasi gaya hidup serta perkhidmatan pengecasan mudah alih bagi memastikan pengalaman pemilikan EV lebih menyeluruh dan mudah.

Menjelang akhir 2025, Mercedes-Benz Malaysia bersama rangkaian pengedarannya akan memperluas lagi jaringan pengecasan di seluruh negara.

Langkah ini menegaskan dedikasi jenama tersebut untuk membina ekosistem mobiliti elektrik yang lancar, pintar dan bersepadu sepenuhnya.

Setakat ini, Mercedes-Benz Malaysia telah memperkenalkan 11 model EV sepenuhnya, termasuk model terbaharu Mercedes-Benz G 580 dengan Teknologi EQ, memberi pelanggan pilihan mobiliti elektrik yang sesuai dengan gaya hidup masing-masing.

Google ads
Back to top button