
SCION KEMBALI TAPI BUKAN KERETA! SCION 01 SEBAGAI ATV SXS!
Selama hampir satu dekad, nama Scion hanya tinggal kenangan, menyimpan nostalgia sebagai subjenama Toyota untuk generasi muda.
Jenama yang beroperasi dari tahun 2003 hingga 2016 ini telah meninggalkan legasi penting, terutamanya dengan model sport popular Scion FR-S yang dijenamakan semula daripada Toyota 86.
Nampaknya masa rehat sudah tamat dan Toyota telah membangkitkan semula nama ikonik ini!
Toyota memperkenalkan konsep off-road terbaharu iaitu Scion 01, namun bukan sebagai kereta penumpang, tetapi Kenderaan Semua Medan (ATV) jenis side-by-side (SXS) yang direka khas untuk pengembaraan luar yang ekstrem.
Kejuruteraan dan Pembangunan

Projek Scion 01 diketuai oleh pasukan jurutera Toyota Amerika Utara yang mempunyai minat mendalam dalam aktiviti off-road.
Hasilnya adalah kuasa pengecas turbo hibrid berprestasi tinggi yang menggabungkan ketahanan legenda Toyota dengan semangat eksperimen Scion.
Konsep ini bertujuan untuk meneroka kemungkinan baharu dalam aspek penerokaan, prestasi, dan reka bentuk dalam segmen kenderaan off-road.
Spesifikasi dan Ciri-Ciri Utama

Model konsep Scion 01 dijana oleh rangkaian kuasa hibrid empat silinder turbo berkuasa tinggi.
Enjin hibrid 2.4 liter iForce Max yang turut digunakan pada pikap Tacoma menghasilkan lebih 300 kuasa kuda (hp) dengan prestasi mengujakan di samping kecekapan yang luar biasa.
- Mod Senyap (Silent Mode): Penggunaan kuasa EV membolehkan Scion 01 meluncur melalui denai dengan senyap, memberikan pengalaman yang mendalam dengan alam semula jadi.
- Direka khas untuk pelbagai senario off-road yang mencabar, termasuk perlumbaan berkelajuan tinggi, laluan denai yang lasak dan aktiviti merangkak batu teknikal (technical rock crawling).
- Pergerakan suspensi (artikulasi) yang luar biasa, lebar gandar (trek) yang seimbang dan tapak tayar yang lincah (nimble footprint) bagi membolehkannya melalui denai-denai sempit.
- Sasarannya adalah untuk mengatasi produk SXS semasa dari segi kuasa, keupayaan, dan julat operasi.
Keselamatan dan Ketahanan

Selaras dengan komitmen Toyota terhadap keselamatan dan ketahanan, Scion 01 menggabungkan ciri-ciri canggih:
-
Rangka piawaian FIA (FIA-compliant cage) yang pertama seumpamanya, dibangunkan secara terus oleh Toyota. Turut mengikut piawaian perlumbaan SCORE (Southern California Off Road Enthusiasts).
-
Menggunakan perkakakasan rangkaian pacuan (driveline), suspensi dan brek Toyota yang telah terbukti, dipilih secara strategik untuk ketahanan dalam keadaan ekstrem.
Reka Bentuk dan Inovasi

Reka bentuk Scion 01 telah difikirkan dengan teliti oleh pasukan reka bentuk CALTY Toyota yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Scion 01 sesuai untuk pelbagai aktiviti, daripada merentasi bukit pasir (dunes) berkelajuan tinggi sehinggalah pengembaraan denai berbilang hari.
Di sebalik kembalinya nama Scion, model ini hanyalah kenderaan konsep khas dan tidak ditawarkan untuk jualan kepada umum.
























