
VOLKSWAGEN GOLF R-LINE DAN GOLF GTI RASMI DIPERKENALKAN – HARGA BERMULA RM255K
Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) kini rasmi melancarkan hatchback ikoniknya, Golf R-Line dan Golf GTI.
Kedua-duanya dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Volkswagen Pekan, menandakan satu lagi langkah penting jenama Jerman itu dalam memperkukuh kehadirannya di pasaran Malaysia.
Walaupun berkongsi asas yang sama, Golf R-Line dan Golf GTI menawarkan personaliti berbeza, satu lebih fokus pada keseimbangan antara gaya dan kecekapan, manakala satu lagi kekal setia dengan DNA “hot hatch” yang berprestasi tinggi.
Volkswagen Golf R-Line:

Golf R-Line menampilkan penampilan sporty yang elegan, datang dengan bampar dan gril R-Line, side skirt khas, serta paip ekzos krom berkembar di belakang. Bahagian luarannya disempurnakan lagi dengan rim aloi 17-inci “Coventry” dan tayar bersaiz 225/45 R17.
Di dalam, suasana sporty diteruskan dengan pelapik bumbung hitam, pedal keluli tahan karat, dan kemasan “Carbon Grey R-Line” pada papan pemuka serta panel pintu. Tempat duduk fabrik R-Line dengan kemasan ArtVelours memberikan keseimbangan antara gaya dan keselesaan harian.
Kuasa pemanduan disumbangkan oleh enjin 1.5L eTSI turbo mild-hybrid yang menjana 150PS dan 250Nm, digandingkan dengan transmisi DSG 7-kelajuan “shift-by-wire”.
Hatchback ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 8.6 saat, dengan penggunaan bahan api sekitar 5.2L/100km, menjadikannya pilihan efisien dan dinamik untuk kegunaan seharian.

Bahagian kabin pula serba digital dengan paparan infotainmen 12.9-inci MIB4, Digital Cockpit Pro 10-inci, sambungan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto, serta pengecasan tanpa wayar.
Keselesaan dikawal melalui sistem penyaman udara automatik Air Care Climatronic 3 zon, lengkap dengan penapis alergen dan kawalan udara untuk penumpang belakang.
Dari segi keselamatan, Golf R-Line dilengkapi teknologi IQ.DRIVE termasuk:
- Front Assist dengan brek kecemasan automatik dan pengesanan pejalan kaki,
- Adaptive Cruise Control (ACC) dan Travel Assist,
- Rear Traffic Alert, Exit Warning, serta Lane Assist,
- Driver Attention Detection dan Emergency Assist.
Volkswagen Golf GTI:

Bagi mereka yang mencari sensasi pemanduan sebenar, Golf GTI kekal sebagai mercu tanda dalam dunia hatchback berprestasi.
Reka bentuk luaran tampil lebih berani dengan gril sarang lebah klasik GTI, bampar hadapan dengan aksen merah ikonik, paip ekzos berkembar krom, dan rim aloi 18-inci “Richmond” (225/40 R18).
Bahagian dalamannya pula menggabungkan kemewahan dan sportiness dengan tempat duduk kulit Vienna GTI, kemasan “Black Metal Chrome”, pelapik bumbung hitam, serta stereng sport GTI berbalut kulit dengan butang kawalan fizikal untuk pengalaman pemanduan lebih tepat dan responsif.
Di bawah hud, GTI menempatkan enjin 2.0L TSI turbocharged berkuasa 265PS, peningkatan sebanyak 20PS berbanding model sebelumnya.

Dipadankan dengan transmisi DSG 7-kelajuan, model ini menjanjikan pecutan pantas, kawalan lincah dan karakter pemanduan yang mengujakan.
GTI turut dilengkapi sistem audio premium Harman Kardon 480W dengan 9 pembesar suara dan subwoofer, serta Head-Up Display (HUD) yang memaparkan maklumat penting terus ke cermin hadapan untuk memastikan fokus pemandu kekal di jalan raya.
Teknologi keselamatan GTI turut merangkumi pakej IQ.DRIVE yang sama seperti R-Line, meliputi sistem bantuan pemandu lanjutan seperti Travel Assist, ACC, Side Assist, dan Lane Assist.
Kedua-dua model ditawarkan dalam lima pilihan warna;
- Oryx White
- Moonstone Grey
- Grenadilla Black
- Kings Red
- Anemone Blue
Seperti model Volkswagen lain di Malaysia, kedua-duanya disertakan Volkswagen Assurance Package (VAP) yang meliputi:
- 5 tahun penyelenggaraan percuma,
- 5 tahun jaminan tanpa had perbatuan, dan
- 5 tahun bantuan tepi jalan percuma.
Golf R-Line kini tersedia untuk pratonton di bilik pameran terpilih, manakala Golf GTI dijual bermula RM255,990 (termasuk VAP).
Sebagai tawaran eksklusif, 50 unit pertama Golf GTI ditawarkan pada harga pengenalan RM249,990, tertakluk kepada pendaftaran sebelum 31 Disember 2025.
GALERI:
Volkswagen Golf R-Line:







Volkswagen Golf GTI:













