Buletin

SUBARU OUTBACK WILDERNESS – MODEL SUBAR TERPALING LIAR

Subaru Outback ini mungkin beranggapan ianya adalah sebuah model wagon yang biasa biasa sebelum ini. Namun sejak akhir ini, Subaru memutuskan untuk memberikan darjat yang lebih tinggi, daripada sebuah wagon kepada model yang berketrampilan sebuah SUV / Crossover. Tapi yang ini adalah Subaru Outback Wilderness. Mungkin ini adalah model terpaling liar agaknya.

Sudah tentu pengenalan Subaru Outback Wilderness bagi memenuhi keperluan dan kehendak mereka yang mahukan sebuah model dengan keupayaan SUV + pemanduan dengan gaya Subaru dan Symmetrical All-Wheel Drive + keupayaan membawa barangan yang dimiliki oleh sebuah wagon. Inilah jawapan sebenar kepada kehendak mereka itu.

Jadi bolehkah Subaru Outback Wilderness ini di bawa masuk untuk merentas hutan belantara? Jawapannya iya. Dengan dilengkapi Symmetrical All-Wheel Drive sudah pasti ianya akan membantu model ini untuk menempuhi apa jua bentuk muka bumi dengan mudah. Laluan berpasir, berbatu, berlumpur semuanya mampu ditantanginya.

Apatah lagi dengan kini ketinggian dari tanah telah ditambah menjadi 9.5 inci serta dilengkapi dengan skid plate di bahagian hadapan untuk membantu Subaru Outback Wilderness melepasinya dengan mudah. Begitu juga dengan beberapa sudut di bahagian bampar belakang telah direka semula dengan perubahan sudut bagi membantu ianya tidak mudah tersangkut kelak.

Bahagian roda pula menggunakan tayar jenis All Terrain yang sungguh tebal itu daripada Yokohama GEOLANDAR untuk memberikan cengkaman lebih baik dan juga prestasi maksimum. Bila dah pakai tayar tebal AT ini, rim bersaiz 17 itu nampak macam kecil pula kan.

Untuk kabin, ianya turut menggabungkan ciri liar sama seperti rupa luarannya. Tempat duduknya dibalut dengan upholsteri jenis yang tidak meresap air bagi menjamin ketahanan pembuatannya ketika pemiliknya sedang kebasahan ketika melintasi sungai.

Skrin sesentuh bersaiz 11.6 inci pula akan menjadi sistem infohiburan yang penting buat pemandu dan penumpang yang lengkap dengan ketersambungan Apple Carplay dan juga Android Auto. Aspek keselamatan juga cukup lengkap apabila dilengkapi dengan sistem EyeSight Driver Assist Technology.

Trenkuasa SUV Wagon ini pula menggunakan enjin 2.4 liter Boxer turbocaj yang tidak perlu diragui lagi kuasa dan tujahannya. Ia mampu menghasilkan kuasa sekitar 260 HP dan 277 Nm.

Untuk mendapatkan sebuah kenderaan yang sedap, lasak dan liar seperti ini, ianya dijual pada harga $38,445 (RM173771) di Amerika sana.

BACA : SUBARU FORESTER WILDERNESS – INI BARULAH SUV YANG SESUAI UNTUK MEREDAH BELANTARA

BACA : SUBARU OUTBACK DENGAN EYESIGHT SUDAH ADA DI MALAYSIA – RM246K DAN LEBIH SELAMAT

Google ads

B K

Back to top button