
TAS KL 2025 – DUA MODEL LAGENDA DARIPADA LIBERTY WALK, FERRARI F40 DAN SUPER SILHOUETTE ER34
Buat pengunjung Tokyo Auto Salon KL 2025 (TAS KL) yang sedang berlangsung sekarang (8 – 10 Ogos 2025) pastikan mata anda tidak terlepas untuk membelek sendiri depan mata model yang satu ini. Ini adalah merupakan sebuah model yang bukan biasa – biasa, ini adalah Ferrari F40 hasil kerja tangan daripada Liberty Walk.
Dalam dunia modifikasi permotoran di Jepun, Liberty Walk ini bukanlah calang – calang. Nama Liberty Walk ini sebenarnya cukup gah di kalangan mat – mat Jepun yang inginkan kelainan dari segi rupa bentuk terhadap kereta jalanan mereka.
Dan bersempena dengan TAS KL 2025, model Ferrari F40 berwarna putih ini telah didatangkan khas dari Jepun khusus untuk tatapan pengunjung. Model Ferrari F40 ini telah pun mula diperkenalkan kepada umum pada tahun 2023 dan terus mendapat perhatian buat peminatnya ketika itu.

Nadi asal bersesaran V8 twin turbo 2.9 liter yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 471 HP masih lagi dikekalkan. Cuma penampilan luarannya kini menerima perubahan yang cukup ekstrem dengan pemadanan kit badan yang melebar tak tentu hala dari hadapan membawa ke belakang. Lengkap dengan wing di belakang serta rekaan diffuser pada bampar yang cukup garang.
Menambahkan perbezaan ketara dengan model asal sebuah Ferrari berbanding warna Rosso Corsa Red adalah penggunaan warna putih pada keseluruhan badan model ini dengan terdapat bulatan berwarna merah di tengah badan yang menggambarkan semangat jet pejuang A6M Zero sewaktu zaman Perang Dunia Kedua.

Model yang turut dibawa untuk tatapan pengunjung TAS KL adalah sebuah lagi model yang pernah menjadi buah mulut masyarakat Jepun, Super Silhouette ER34. Model ini telah pun dipertontonkan kepada umum sewaktu TAS 2020.
Model yang dibina berdasarkan model Skyline R34 ini dihasilkan dengan berinspirasikan daripada model Skyline KDR30 1982 yang dipandu oleh Masahiro Hasemi, dengan menampilkan livery ikonik berwarna Merah dan Hitam.

Rupa bentuk Super Silhouette ER34 ini sudah semestinya turut menampilkan kit badan yang melebar dan rendah. Sekali imbas tengok macam dah bersedia untuk pergi berlumba aja.
Dan tahukah anda, setiap kit badan yang dihasilkan oleh Liberty Walk ini sebenarnya boleh dipesan terus dari mereka? Cumanya lambatlah sikit nak sampai kat KL ni kan?
Hah, apa lagi. Marilah ke TAS KL 2025 sekarang ini.
BACA : TASKL 2024 – KUHL RACING 35R 2024 EDITION. LAIN MACAM BETUL DIA PUNYA RUPA
BACA : TASKL 2024 – NISSAN Z VEILSIDE FFZ400 TURUT DIPAMERKAN. TAPI APA PASAL MACAM LIHAT TAPI DI MANA YA?



