
TAS KL 2025 – CREWCH GT-R356C PUN ADA NI HAH. CANTIK KE IDOK??
Umum mengetahui, model ultimatum dalam katalog Nissan adalah model Nissan GTR R35. Anak kecil pun sememangnya mengetahui akan kewujudannya. Pantang nampak atas jalan raya, masing – masing sibuk nak buka tingkap kereta, nak mendengarkan irama syahdu hasil deruman ekzos GTR tersebut.
Umum juga mengetahui akan jangka hayat untuk Nissan GTR ini sememangnya sudah berada di penghujung kitarannya semenjak ianya mula diperkenalkan kepada masyarakat dunia pada tahun 2007.
Namun disebabkan faktor dalaman membabitkan pengurusan Nissan yang bergolak, maka khabar untuk pengganti model R36 yang sepatutnya segera diperkenalkan masih lagi tidak pasti apakah nasibnya,
Mungkin atas faktor minat atau pun tanggungjawab sosial korporat, sebuah tuner dari Jepun Crewch cuba bermain dengan imaginasi, bukannya sekadar melalui paparan digital sebaliknya menghasilkan sebuah model konsep di dunia nyata bagi pengganti R35 tersebut.

Model yang diberi nama Crewch GT-R356C sebenarnya telah pun ditayangkan secara umum sewaktu di Tokyo Auto Salon 2025 awal tahun yang lalu. Dan sesungguhnya tiadalah objek yang seburuk – buruk ini apabila berada di hadapan mata sewaktu TAS KL ini.
Ternyata reka bentuk keburukan Crewch GT-R356C telah pun bermula di bahagian hadapan lagi dengan menampilkan bampar yang direka secara berlebihan dengan hidung (sepatutnya gril) terjojol ke bawah. Katanya berinspirasikan rekaan daripada muncung jentera F1.
Walau pun masih lagi cuba mengekalkan lampu asal milik R35 di hadapan dan belakang, tetapi telah diberikan sedikit perubahan kecil bagi membolehkan ianya disesuaikan dengan rekaan yang agak kejam dan radikal ini.

Mujurlah juga rekaan bahagian belakang masih terserlah ciri sebuah sport car yang sepatutnya ada pada sebuah plat nama Skyline ini dengan wing cukup besar serta bahagian bampar belakang yang cukup eksktrem gayanya.
Dengan kit badan yang lebar telah mengambil alih profil di bahagian sisi kereta ini ianya jauh lebih lebar dan rendah berbanding R35 standard.
Oh ya, sebetulnya model konsep ini telah pun memenangi anugerah untuk Tokyo International Custom Car Contest untuk TAS 2025 itu hari. Entah apalah yang ada dalam fikiran sang juri hari itu kan?
Moga – moga pereka bentuk Nissan nanti mengambil iktibar akan perkara ini. Benda buruk jangan dibuat gurau dijadikan model sebenar.
BACA : CREWCH GT-R356C – MODEL KONSEP GT-R PALING LIAR DAN PALING BURUK
BACA : NISSAN GT-R50 TERPALING RARE UNTUK DIJUAL – TAK PERNAH DIPANDU PUN

