
TATA NEXON BAHARU - KINI TURUT HADIR DENGAN VARIAN EV
Tidak dapat dinafikan, model Tata Nexon bagi pengeluar kenderaan yang berpangkalan di India ini merupakan model yang cukup penting buat Tata. Masa kan tidak, Tata Nexon ini merupakan SUV no. 1 di India.
Hadir di bawah segmen SUV kompak, reka bentuk Tata Nexon baharu ini pastinya mampu menarik perhatian sesiapa sahaja yang inginkan sebuah SUV bandar dengan reka bentuk moden dan agresif. Lampu DRL LED yang nipis diposisikan di bahagian atas manakala lampu utama juga menggunakan LED diletakkan di bahagian bampar. Rekaan sebegini memberikan ilusi bahawa seolah lampu utamanya nipis dan sepet.

Dan walaupun ianya adalah sebuah SUV bandar, namun rekaan skid plate sudah mestinya menjadi kewajipan di bahagian hadapan dan belakang untuk memberitahu masyarakat bahawa ianya berupaya meredah laluan off-road yang berskala kecil apatah lagi ianya mempunyai sedikit ketinggian apabila turut menggunakan rim aloi R16 dengan rekaan sisipan aero.

Bahagian belakang menampilkan rekaan lampu LED yang futuristik berbentuk X dari hujung ke hujung yang turut dilengkapi dengan animasi Welcome dan Good Bye. Rekaan belakang juga tampak lebih kemas dan elegan apabila pengelap cermin belakang telah disembunyikan.
Bahagian dalaman Tata Nexon ini menampilkan eleman mewah dan minimalis. Papan pemuka kini menggunakan tiga lapisan dengan tona berbeza termasuklah pad tengah dengan kemasan kulit dengan warna yang lebih khusus supaya tampil lebih mewah. Rekaan stereng 2 spoke berbentuk D memberikan sedikit imej sporty.

Untuk sistem infohiburan, ianya menggunakan skrin sesentuh jenis terapung berukuran lebih kurang 10.2 inci dengan saiz yang sama turut digunakan untuk paparan kluster meter digital. Kawalan pendingin hawa juga kini menggunakan panel sesentuh.
Untuk menghiburkan penumpang, 8 unit pembesar suara berserta subwoofer dari JBL turut disediakan pada Tata Nexon baharu ini. Menambahkan lagi keselesaan penumpang, tempat duduk balutan kulit dengan ciri pengudaraan memastikan penumpang kekal berasa selesa walaupun cuaca panas di luar. Dan untuk menyejukkan lagi penumpang, tempat glove box kini turut berupaya menyejukkan air minuman.
Trenkuasa baharu turut dibekalkan dengan enjin BS-VI 1.2 liter Turbocaj Revotron yang mampu menghasilkan kuasa 120 PS serta pilihan enjin diesel 1.5 liter Turbocaj Revotorq dengan kuasa 115 PS. Kedua enjin ini digandingkan dengan kotak gear 7 kelajuan DCA. Mode pemanduan terdiri daripada Eco, City & Sport juga boleh dipilih mengikut kehendak pemandu.

Oh ya, varian EV juga turut diperkenalkan buat pencinta alam sekitar dengan keupayaan jarak pemanduan sehingga 465 km dengan menggunakan bateri 40.5 kWh.
Harga untuk Tata Nexon ini bermula diantara Rs 8.10 Lakh (RM45793) hingga Rs 14/74 Lakh (RM83,334).
BACA : TATA NEXON – SUV YANG SOHOR KINI DI INDIA
BACA : TATA HARRIER MADE IN INDIA. INGAT TOYOTA AJA ADA HARRIER?

