TATA NEXON – SUV YANG SOHOR KINI DI INDIA
Lama kita tidak kedengaran berita tentang Tata Motors, pengeluar kenderaan tersohor di India. Nah, kali ini izinkan BK berkongsi cerita mengenai Tata Nexon, sebuah SUV kompak yang cukup popular dan menarik di seluruh pelusuk India.
Tata Nexon ini jelas sekali merupakan model yang paling laku dalam katalog Tata Motors. Ianya telah terjual dan menjadi milikan lebih 200,000 pemilik di India semenjak hari pelancarannya hingga ke hari ini. Rekaan SUV kompak ini barangkali kelihatan agak radikal dan sedikit melangkaui waktu. Tapi rupanya itulah resepi yang mudah untuk menjual kenderaan di sana.
Rekaan bampar hadapannya juga kelihatan cukup garang dan agresif. Lampu utamanya menggunakan projektor serta dipadankan dengan DRL berbentuk tri-arrow. Gril di bahagian bampar bawah juga turut menggunakan rekaan tri-arrow. Ruang kelegaan dari tanah juga kelihatan cukup tinggi (209 mm) menjadikannya cukup berkemampuan untuk mengharungi sebarang bentuk muka bumi di India.
Dan bahagian belakang Tata Nexon ini juga kelihatan cukup garang apabila ianya berinspirasikan sebuah model sport coupe. Agaknya inilah rahsia sebenar ke-laku-an model Tata Nexon ini. Nampak garang dan moden.
Dua pilihan trenkuasa ditawarkan kepada pengguna di sana dengan pilihan pertama enjin baharu BS-VI 1.2 liter Turbo Petrol serta 1.5 liter Turbo Revotorq DGNCAPiesel. Kira memadailah untuk menggerakkan SUV yang mana pengguna juga boleh memilih mode pemanduan diantara Eco, City atau pun Sport. Pilihan kotak gear manual dan juga AMT turut ditawarkan kepada pengguna.
Dari segi ciri keselamatan, ianya boleh dikategorikan sebagai memenuhi keperluan sebuah kenderaan moden masa kini. Kerangka casis telah diperkuatkan bagi membolehkan ianya melindungi pemandu dan penumpang walaupun ianya hanya mempunyai dua beg udara sahaja di bahagian hadapan. Electronic Traction Control, Emergency Brake assist, Electronic Brake Pre-fill, Brake Disc Wiping serta Hill Hold Control antara merupakan ciri yang dilengkapi pada model ini. Maka tidak hairanlah sekiranya Tata Nexon diberikan penarafan 5 Bintang GNCAP.
SUV kompak ini sebenarnya kelihatan agak premium yang mana bumbung suria turut tersedia. Dan ruangan kabinnya juga kelihatan cukup moden dengan penggunaan sistem infohiburan bersaiz 7 inci lengkap dengan sambungan Android Auto dan juga Apple Car Play.
Menambahkan ciri menarik yang ada pada Tata Nexon ini adalah iRA Technology yang mana ianya merupakan suatu sistem yang dibangunkan khas untuk kegunaan di India meliputi sistem kawalan suara dengan lenggok Hinglish (Hindi + English). Perkara – perkara yang dinyatakan mungkin dah cukup biasa di pada kebanyakkan model yang ada dalam pasaran. Tapi tahukah ada satu lagi ciri menarik yang mungkin tidak terdapat pada kenderaan biasa. Ruangan penyimpanan / glovebox turut dilengkapi dengan sistem penyejukan. Kalau nak simpan air tin neskepe ke, air kotak teh bunga ke, ikan beli di pasar, mahu pun teh ais ikat mati Insya Allah tiada masalah. Senantiasa sejuk.
Dan harga permulaan untuk SUV kompak ini mula dijual pada aras harga Indian Rupee 719.900 (RM40,874) dengan varian tertinggi Nexon Dark pula dijual pada harga Indian Rupee 11.29.900 (RM64,152). Nampak macam boleh beli sangat dah rakyat India di sana.