Buletin

BAKAR MERCUN DARI DALAM KERETA, WARGA ASING BERISIKO DIDENDA RM10K DAN PENJARA 7 TAHUN

Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki membakar bunga api keluar dari tingkap kereta yang sedang bergerak di Jalan 2/3A Pusat Bandar Utara di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya mengesan satu klip video tular berdurasi 14 saat memaparkan kejadian itu.

“Hasil semakan pihak polis mendapati video berkenaan dengan jelas memaparkan perbuatan berbahaya terbabit.

“Bertindak atas maklumat, pihak polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 31 tahun dan merampas sebuah Proton Waja digunakan semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957.

“Kesalahan ini memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya. – Harian Metro

Google ads
Back to top button