Buletin

TIV 2020 DIRAMAL NAIK 612K. MITI KOMITED PERCEPATKAN PROSES KELULUSAN HARGA KERETA

Kenanga Investment Bank (Kenanga) menjangkakan volum keseluruhan industri (TIV) industri automotif negara pada tahun ini akan meningkatkan kepada 612,000 unit berbanding 600,000 sepanjang tahun lalu. 

Jangkaan itu disokong oleh pelancaran model-model baharu yang menarik, terutama oleh jenama asing. Selain program insentif lebih baik di bawah Polisi Automotif Nasional (NAP) 2020 yang bakal diumumkan pada suku pertama tahun ini. 

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah mengambil keputusan untuk meningkatkan mesyuarat bulanan Jawatankuasa Pembangunan Perniagaan Automotif daripada sekali kepada dua kali bagi mempercepatkan proses kelulusan harga kenderaan. 

MITI juga menubuhkan Majlis Penasihat Perdagangan dan Industri bagi membincangkan isu-isu berkaitan pelaburan langsung asing dan domestik ke atas NAP 2020. 

Kenanga menyatakan model SUV diramal akan terus menjadi pemacu industri automotif pada tahun ini. Ia mendedahkan perkongsian pasaran segmen 4WD/SUV naik 20 peratus dalam tempoh 11 bulan pertama 2019 berbanding 13 peratus sepanjang tahun 2018 berikutan populariti 4WD/SUV. 

Segmen itu akan dirancakkan lagi dengan pelancaran model-model SUV yang dinanti ramai seperti Proton X70 CKD, Toyota C-HR, Mazda CX-30 dan Mazda CX-3 facelift. Sementara Proton X50 dan Perodua 55L/Raize dijangka diperkenalkan pada hujung tahun ini. 

Dalam tempoh Januari hingga November 2019, jenama nasional menguasai 57 peratus perkongsian pasaran. Angka itu banyak disumbangkan oleh pertumbuhan jualan Proton yang naik 51 peratus dari tahun ke tahun. Ia berikutan pengenalan Proton X70, serta disokong oleh versi facelift Saga, Iriz, Persona dan Exora.      

sumber: The Edge Market  

Google ads
Back to top button