
TOYOTA CROWN ESTATE – WAGON IDAMAN LELAKI JEPUN
Dalam katalog Toyota, umum mengetahui akan darjat Toyota Crown ini sememangnya berada di tangga yang lebih atas berbanding model lain. Melangkaui berbelas generasi, kini ianya telah pun memasuki generasi ke 16 sepanjang tempoh pengeluarannya.
Dan bermula generasi ke 16, Toyota seolah ingin mencipta sejarah semula untuk plat nama Toyota Crown. Tidak sahaja hanya memperkenalkan model sedan yang menjadi kelaziman, malah Toyota turut menawarkan tiga lagi varian untuk plat nama Crown ini meliputi Crossover, Sport dan juga Estate.

Walau pun menggunakan plat nama Estate di hujungnya untuk menggambarkan ianya adalah sebuah model wagon, ajaibnya Toyota Crown Estate ini tidaklah kelihatan seumpama sebuah wagon untuk golongan abah abah. Reka bentuknya jika dilihat dengan mata kasar tidak ubah sebuah SUV, mungkin disebabkan faktor ruangan titik roda yang panjang dan ruangan badan yang tergantung di bahagian belakang kelihatan cukup pendek, lari dari tipikal sebuah wagon.
Dibina berdasarkan pelantar GA-K, Toyota Crown Estate ini menampilkan garis bahu tajam dari hadapan ke belakang, mencapai reka bentuk yang bersambung dengan lancar dengan garisan watak pada hud hadapan. Manakala fascia hadapan mempunyai gril hadapan yang disepadukan dengan bumper yang mencapai reka bentuk yang bergaya dan tersendiri yang sepadan dengan warna badan.

Rekaan papan pemukanya kini dihasilkan secara standard sama seperti varian Crown yang lain untuk tampil seragam. Sebagai sebuah model wagon, sudah tentu ruang kargo yang luas di belakang akan menjadi tujuan utama pemilikannya dengan keluasan sehingga 570 liter.
Dan keluasan tersebut berupaya mencapai sehingga 1,470 liter sekiranya tempat duduk barisan kedua dilipat rata untuk memaksimumkan ruangan. Cukup luas. Lantai ruang bagasi diperbuat daripada fabrik berkualiti tinggi dengan tekstur yang menyenangkan sekali gus memastikan barangan pelanggan disimpan dengan selamat dan tenang.

Keselesaan penumpang kini boleh bergantung harap kepada sistem DRS bagi mengurangkan olengan kenderaan disamping sistem AVS miliknya.
Untuk trenkuasa, Toyota Crown Estate ini menggunakan enjin 2.5 liter bersama sistem hibrid kecekapan tinggi untuk meningkatkan lebih prestasi berbanding model Crossover dan juga Sport dengan pek bateri litium-ion berkapasiti tinggi berketumpatan tinggi yang diletakkan di bahagian bawah lantai dengan kemampuan bergerak sehingga 89 km tanpa masalah untuk pemanduan harian.
BACA : TOYOTA CROWN SEDAN DILANCAR DI JEPUN, FCEV DAN HIBRID!
BACA : TOYOTA CROWN SPORT DIPERKENALKAN DI JEPUN – EH, INI TOYOTA KE FERRARI BANG?