
TRAK MAN TM CAB TAWAR RUANG KABIN LEBIH LUAS DAN SELESA. BOLEH BERDIRI UNTUK SOLAT
MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd (MAN Malaysia), pengeluar trak yang pertama di Malaysia yang menawarkan enjin Euro V sebagai standard untuk seluruh rangkaian trak baru-baru ini mengumumkan bahawa pelanggan kini boleh memilih TM Cab yang lebih tinggi dan luas.
Sehingga kini, TN Cab dengan ketinggian standard menjadi pilihan pasaran Malaysia kerana cirinya yang fleksibel. Reka bentuk yang kompak dan ringan menjadikannya sesuai untuk pelbagai kegunaan seperti lori tangki, silo dan pembawa kontena atau untuk mengangkut balak dan bahan binaan berat di jalan raya Malaysia yang biasanya sempit.
TM Cab serba baharu mempunyai lebar luaran yang sama iaitu 2,240mm dan panjang 2,280mm seperti TN Cab, tetapi lebih tinggi pada 2,035mm berbanding 1,737mm.
Ini memberi kelebihan ruang di bahagian dalam kabin. Tambahan 280mm ruang kepala diterjemahkan kepada lebih banyak ruang untuk berdiri, bergerak dan menyimpan barangan, selain ruang rehat yang selesa di bahagian belakang.

Ini penting kerana kabin ialah tempat kerja dan ruang kediaman untuk pemandu lori. Di sinilah tempat mereka menghabiskan masa berjam-jam di jalan raya dan berehat selepas bekerja, terutamanya dalam perjalanan jarak jauh.
Pengarah Urusan MAN Malaysia Andrew O’Brooks berkata MAN TM Cab serba baharu merupakan satu lagi tawaran yang dipacu oleh pasaran ketika MAN terus memacu perubahan ke arah masa depan.
“Di pentas global, MAN juga terus maju ke hadapan dengan MAN e-Truck elektrik sepenuhnya yang bakal diperkenalkan dua tahun dari sekarang.

“Walaupun kami secara aktif membentuk peralihan kepada mobiliti mampan dan neutral iklim dengan produk teknologi tinggi, kami tetap komited untuk terus berinovasi dan menambahbaik produk konvensional kami untuk memenuhi keperluan ‘dunia sebenar’ industri pengangkutan hari ini.
“MAN TM Cab serba baharu menawarkan semua kelebihan TN Cab dan kini memenuhi keperluan elemen terpenting dalam rantaian logistik iaitu pemandu,” katanya.
MAN memahami dengan jelas keperluan untuk menyediakan penyelesaian yang tepat untuk membantu syarikat-syarikat pengangkutan merekrut dan mengekalkan pemandu pada ketika industri menghadapi kekurangan tenaga pemandu yang serius.

Falsafah Excellent Driver Fit yang membimbing pembangunan MAN Truck Generasi Baharu menjangkau lebih daripada usaha untuk mewujudkan kabin yang selesa dan ergonomik.
Senarai penuh bantuan pemanduan yang canggih dan sistem keselamatan memastikan pemandu lori kekal selamat setiap kali mereka berada di jalan raya memandu MAN Truck.
Antara Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) yang disediakan sama ada sebagai ciri standard atau pilihan dalam setiap MAN Truck Generasi Baharu termasuklah Lane Guard System (LGS), Lane Departure Warning System (LDWS), Tyre Pressure Monitoring (TPM), Emergency Brake Assist (EBA), Electronic Stability Program (ESP), Assisted High-Beam Headlight and Automatic Wiper System, Side Camera System (SCS) dan 360° View Assistance (Bird View), Adaptive Cruise Control (ACC), Continuous Damping Control (CDC) dan MAN BrakeMatic.
Maklumat lanjut tentang MAN TM Cab, sila layari www.man.com.my




