Buletin

TRAK GENERASI BAHARU MAN TGS MENDARAT DI MALAYSIA. ENJIN EURO 5 STANDARD, HARGA BERMULA RM340K

MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd melancarkan rangkaian trak tugas berat generasi baharu dikenali sebagai TGS. Model terbaharu itu merupakan trak tugas berat pertama yang menggunakan enjin Euro 5 di negara ini sekali gus membantu mengurangkan jejak karbon industri pengangkutan dan logistik.

Trak generasi baharu tersebut menetapkan piawaian baharu daripada segi mesra pengguna, ergonomik, operasi lebih intuitif, rangkaian yang boleh dipercayai dengan peranti dan aplikasi digital serta ruang selesa.

MAN trak TGS ditawarkan pada harga bermula RM340,000 dan lima varian iaitu:

  • 4×2 dan 6×2 untuk pengangkutan/kontena;
  • 6×4 untuk pembinaan dan kegunaan tugas berat; dan
  • 4×2 dan 6×2 dengan spesifikasi ADR (Perjanjian Berkaitan Pengangkutan Barangan Bahaya melalui Jalan Raya). 

Ia mendapat khidmat dua pilihan enjin iaitu varian 4×2 dan 6×2 untuk pengangkutan serta membawa barangan berbahaya dijana enjin enam silinder diesel Euro 5 MAN D20 10.5 liter.

Bagi varian 6×4 pula yang khusus untuk tugas berat memiliki enjin D26 12.4 liter yang lebih besar.

Kedua-dua enjin menampilkan teknologi Selective Catalytic Reduction (SCR) untuk mengurangkan perlepasan gas berbahaya ke atmosfera dan dipadankan kotak gear pintar MAN TipMatic 12-kelajuan.

Barisan trak MAN terbaharu itu dilengkapi ciri-ciri inovasi seperti MAN Easy Control dan Smart Select.

MAN Easy Control menawarkan pilihan fungsi yang boleh disesuaikan dan dikendalikan pemandu semasa berada di luar trak.

Teknologi MAN Smart Select pula merupakan kawalan sistem infotainmen dua peringkat bagi memastikan operasi lebih mudah dan tepat.

Ruang kokpit terbahagi kepada dua paras iaitu panel instrumen bahagian bawah kini lebih bersudut ke arah pemandu untuk kebolehcapaian optimum manakala paparan di bahagian atas diletakkan lebih jauh untuk penglihatan optimum.

Rekaan tersebut adalah bertujuan memudahkan penglihatan pemandu, termasuk yang lebih berusia, semasa beralih daripada membaca maklumat pada paparan kepada trafik di jalan raya.

Dalam pada itu, roda stereng direka lebih kecil berbanding model-model terdahulu malah berupaya dilaras bermula dari sudut 20o  kepada 55o menghampiri tetapan stereng kereta penumpang.

Ia bagi menawarkan kedudukan stereng yang ideal untuk pemandu dengan bentuk badan berbeza dan melancarkan pergerakan keluar masuk dari kabin.

MAN TGS baharu turut dilengkapi pelbagai sistem keselamatan dan bantuan pemandu seperti Sistem Amaran Berlepas Lorong (LDW), Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC),Program Kestabilan Elektronik dan Bantuan Brek Kecemasan (EBA) Termaju.

Selain itu, ia hadir dengan MAN Telematics yang merupakan sistem penyelenggaraan digital dan pengurusan fleet dibangunkan secara menyeluruh serta dipasang di kilang.

Sistem tersebut mampu mengurangkan ketidakcekapan operasi dan kos sambil memastikan trak MAN TGS baharu beroperasi pada tahap maksimum.

MAN Malaysia menawarkan langganan percuma selama dua tahun dengan setiap pembelian trak generasi baharu MAN.

Untuk keterangan lanjut mengenai MAN TGS boleh melayari laman web www.man.com.my.  

Google ads
"
"
Back to top button