Buletin

MAN TGX DEBUT DI MALAYSIA. ENJIN EURO5, PATUHI PIAWAIAN ESG 

MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd (MAN Malaysia) percaya terdapat permintaan pasaran yang tinggi untuk model utama barisan MAN Truck generasi baru yang mematuhi pelepasan Euro V yang dilancarkan baru-baru ini.

MAN TGX serba baharu telah dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Dato‘ Henry Sum Agong di Ekspo Kenderaan Komersial Malaysia (MCVE) 2022 tahun ini.

Berikutan penampilan pertamanya di Malaysia, MAN TGX serba baharu dengan bumbung tinggi dan ruang pemandu terbesar di antara semua model MAN Truck akan ditawarkan bersama model yang lebih dikenali, MAN TGS, yang fleksibel dan serba boleh yang biasanya menjadi model pilihan dalam pasaran ini.

Dengan lebar 2440 mm, panjang 2280 mm dan ketinggian 2150 mm, MAN TGX direka untuk perjalanan jarak jauh merentas sempadan yang biasanya memakan masa beberapa hari. Kabin luas menawarkan ruang simpanan lebih 520 liter, manakala ketinggian berdiri 2,100mm membolehkan pergerakan mudah untuk pemandu dan pembantu.

MAN TGX serba baharu dikuasakan oleh enjin diesel MAN D2676 LF08 Euro V dengan kuasa 540hp, tork maksimum 2,500Nm dan pelepasan karbon yang jauh lebih rendah untuk mematuhi piawaian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Kotak gear MAN TipMatic® 12-kelajuan menjanjikan penukaran gear yang lancar untuk mengurangkan penggunaan bahan api dan menawarkan tahap keselesaan pemanduan.

Pada November 2021, MAN menjadi pengeluar trak pertama di Malaysia yang menawarkan enjin Euro V sebagai standard untuk seluruh rangkaian produknya.

Pengarah Urusan MAN Malaysia Andrew O’Brooks berkata langkah tersebut menunjukkan azam syarikat untuk menyokong hasrat Malaysia untuk mencapai status neutral karbon menjelang 2050.

“Di Eropah, kenderaan pengangkutan jarak jauh menghasilkan sebanyak 27 peratus gas CO2. Malaysia seharusnya bertindak sekarang untuk mengurangkan jejak karbon. Industri kenderaan komersial serta perkhidmatan awam boleh memainkan peranan dalam menghadapi cabaran alam sekitar ini,” katanya.

Sebagai pengeluar, MAN komited untuk menawarkan penyelesaian yang sesuai. MAN Truck Generation Baharu dengan enjin Euro V sebagai standard ialah rangkaian produk serba baharu yang mendahului dalam orientasi pemandu, kecekapan bahan api, sistem bantuan, rangkaian digital dan paling penting sekali, kemampanan. 

Industri pengangkutan seharusnya melabur semula dalam trak baharu yang memenuhi kriteria ini terutamanya dalam persekitaran perniagaan semasa yang menuntut pematuhan ESG yang ketat.

Di MCVE 2022, MAN Malaysia telah menandatangani perjanjian jual beli dengan Sea Hawk Global Lines Sdn Bhd, Biforst Logistics Sdn Bhd dan Azmi Gas Sdn Bhd.

Maklumat lanjut tentang MAN Truck Generation Baharu, sila layari www.man.com.my

Google ads
Back to top button