Buletin

TUHU KINI DI MALAYSIA: SIHAT UNTUK PENGGUNA, BENGKEL TEMPATAN RISAU!

Syarikat servis kereta terbesar dari China, TUHU Car Care, kini rasmi memasuki pasaran Malaysia dengan pembukaan dua pusat perkhidmatan pertama mereka.

Maklumat ini dikongsi melalui Car Buddie Malaysia, sekali gus mengesahkan kemunculan jenama yang sudah lama mendominasi sektor aftermarket di negara asalnya.

Didukung oleh konglomerat teknologi Tencent, TUHU bukan nama kecil dalam industri. Di China sahaja, mereka mengendalikan lebih 7,000 pusat servis yang menawarkan khidmat menyeluruh – daripada servis berkala, penjagaan tayar, kerja-kerja pembaikan, pemasangan filem keselamatan serta PPF, hinggalah kepada cucian kereta.

Konsepnya mudah: semua urusan penyelenggaraan kereta di bawah satu bumbung.

Keunikan TUHU yang membantu pertumbuhannya di China ialah penggunaan aplikasi mudah alih yang membolehkan pelanggan memantau status servis dan mendapatkan anggaran harga sebelum kerja dilakukan.

Berdasarkan tangkap layar yang tular, pelbagai produk seperti minyak enjin dan tayar ditawarkan pada harga kompetitif serta disertakan waranti sehingga enam tahun.

Setakat ini, dua cawangan pertama telah mula beroperasi — satu di Bandar Sunway, Petaling Jaya dan satu lagi di Bandar Rimbayu, Selangor.

Reaksi Awal Pengguna: Antara Teruja dan Risau

Kemasukan pemain besar seperti TUHU menimbulkan pelbagai pandangan dalam kalangan pengguna tempatan.

Ada yang menyambut baik kehadirannya kerana percaya persaingan mampu menurunkan harga servis yang selama ini dianggap membebankan.

Bagi sesetengah pelanggan, kehadiran pilihan baharu memberi ruang untuk mendapatkan servis pada harga lebih munasabah.

Namun begitu, tidak kurang juga yang bimbang akan nasib pemilik bengkel kecil tempatan. Kehadiran syarikat besar berbekalkan modal besar dan harga rendah dikhuatiri menjejaskan periuk nasi pengusaha SME automotif.

Sebahagian warganet turut menyuarakan kebimbangan mengenai kualiti produk, memandangkan barangan murah dari China sering dikaitkan dengan isu ketulenan.

Ringkasnya, walaupun pelanggan mungkin akan menikmati harga lebih rendah, kebimbangan terhadap masa depan bengkel tempatan dan daya saing mereka menjadi perdebatan hangat.

Kehadiran TUHU di Malaysia dilihat bakal mengubah landskap servis automotif negara, sama ada ke arah yang lebih kompetitif atau sebaliknya masih menanti masa untuk dibuktikan. – The Vocket

Google ads
Back to top button