Artikel Pilihan

RENAULT TRAFFIC BAHARU IMBAU KENANGAN BUDAYA VAN SATU KETIKA DAHULU – NOSTALGIA WEH

Sebelum munculnya segala jenis MPV dan SUV, van merupakan sebuah kenderaan yang sangat diminati. Bukan hanya oleh peniaga pasar malam tapi juga para bapa yang memiliki keluarga yang besar. Ia memudahkan perjalanan dan boleh memuatkan lebih ramai penumpang dalam satu masa.

Ia memang penting kalau ada keperluan seperti urusan meminang dan nikah kahwin. Nak balik kampung pun senang. Sumbat je semua jenis barang tak payah nak pasang roof box bagai. Itu tak termasuk van yang digunakan oleh kumpulan muzik rock kapak untuk bergerak ke tapak-tapak konsert, van jenazah, van camper dan macam-macam lagi.

Budaya pemilikan van kemudian bertukar kepada MPV dan van kekal sebagai kenderaan dagangan. Ini kerana MPV dilihat lebih selesa dan bergaya untuk perjalanan jauh. Namun kemunculan Renault Traffic baharu mungkin mengembalikan nostalgia ini.

Van kini muncul kembali dah dilihat lebih cool khususnya jika ia berada dalam kategori EV. Tengok sahaja VW ID Buzz, lawa bukan? Kia PV5? Sangat kacak. Dan yang terbaru, Renault Traffic E-Tech yang dilihat dari jauh pun dah sangat cool.

Selepas ditunjukkan oleh Renault awal tahun ini, kini ia muncul dengan rupa parasnya yang funky, futuristik dan bergaya. Tengok sahaja fasia hadapannya yang berbeza dari MPV mewah dari Jepun. Susunan lampu utamanya lebih mirip kepada sebuah trak berbanding MPV biasa. Memang rupa paras van lah dengan kata lain.

Macam mana dengan trenkuasa? Sebagai sebuah EV, Traffic ini dilengkapi dengan motor elektrik tunggal di hadapan yang mampu menghasilkan sekitar 201bhp kuasa dan 350Nm tork. Jika varian Long Range menjadi pilihan ia dikatakan mampu bergerak sejauh 450 kilometer dengan cas penuh. Ia menurun kepada 350 kilometer jika dipandu dalam kawasan bandar.

Ia bakal menjadi kenderaan pertama keluaran Renault yang dipasang dengan teknologi pengecasan 800V. Ini bermakna jika menggunakan bateri bersaiz kecil, pengecasan dari 15 ke 80 peratus hanya mengambil masa 20 minit! Nak minum kopi jantan pun tak sempat.

Dikatakan juga ia mempunyai keupayaan menunda beban sehingga 2 tan selain muatan maksima sehingga 1.25 tan. Terdapat pelbagai pilihan konfigurasi yang boleh dipilih sewaktu tempahan.

Ia bakal diproduksikan pada penghujung 2026 dan rasa selepas itu ia akan memenuhi jalan raya di Eropah. Kat Malaysia ni susah sikit la kot. Tapi kalau ada memang futuristik habis van ni pada pandagan awal. Kena tengok depan mata baru boleh sahkan.

Google ads
Back to top button