
TESLA IKUT JEJAK GM – BERHENTI GUNA KOMPONEN CHINA
Industri automotif kini sedang melalui transformasi besar, dipacu oleh tarif, perang dagang, dan perubahan minat pengguna.
Terkini, Tesla mengambil langkah untuk mengurangkan kebergantungan kepada komponen buatan China bagi kenderaan yang dihasilkan di Amerika Syarikat.
Menurut laporan Wall Street Journal, Tesla pada awal tahun ini telah meminta pembekalnya untuk mula menggantikan komponen China dalam semua kenderaan buatan AS.
Sasaran syarikat itu adalah untuk menyiapkan proses ini dalam tempoh maksimum dua tahun, dan jika boleh, menjelang tahun hadapan. Untuk rekod, beberapa komponen China telahpun diganti.

Langkah ini didorong beberapa faktor. Tesla sebenarnya sudah mula mengurangkan penggunaan komponen China sejak pandemik.
Tekanan bertambah apabila Presiden Donald Trump memperkenalkan tarif baharu terhadap import dari China, menimbulkan ketidaktentuan dalam pasaran serta memberi kesan kepada strategi harga dan perolehan Tesla.
Selain itu, konflik semikonduktor antara China dan Belanda baru-baru ini turut menjejaskan bekalan Tesla. Syarikat cip Belanda, Nexperia, yang proses pembungkusannya dilakukan di China, terlibat dalam pertikaian eksport, sekali gus menjejaskan pengeluar kenderaan termasuk Tesla.
Sebagai langkah alternatif, Tesla telah lama menggalakkan pembekal China membuka operasi di Mexico dan Asia Tenggara, bagi mengelak tarif yang hanya dikenakan terhadap China.
Selain itu, Tesla juga merancang untuk menghentikan penggunaan bateri lithium-iron-phosphate (LFP) buatan China, dan akan mula menghasilkan bateri ini di Nevada tahun depan.
Perlu diingat, Tesla bukanlah pengeluar pertama yang mengambil langkah ini. Sebelum ini, GM telah mengarahkan pembekalnya untuk menghapuskan komponen China sepenuhnya menjelang 2027.
Tesla dan GM dijangka bukanlah pengeluar terakhir yang mencuba strategi ini. Masa akan menentukan sama ada langkah ini berjaya menurunkan kos dan meningkatkan pengeluaran di Amerika.
- BACA: RENAULT TRAFFIC BAHARU IMBAU KENANGAN BUDAYA VAN SATU KETIKA DAHULU – NOSTALGIA WEH
- BACA: PESAING BYD ATTO 2, LEAPMOTOR A10 DIDEDAHKAN DI CHINA – HARGA SEKITAR RM53K
- BACA: NYARIS MAUT, KERETA DIHEMPAP RUNTUHAN BINAAN ECRL
- BACA: KATANYA FORD GT BAHARU AKAN MUNCUL AWAL TAHUN DEPAN – BETUL KE NI?








