Buletin

VOLKSWAGEN ARTEON, SEDAN PREMIUM PADA HARGA KOMPETITIF

Volkswagen Passenger Car Malaysia melancarkan satu model baru yang dikenali dengan nama Volkswagen Arteon R-Line. 2 lagi model yang dilancarkan bersama dengan model ini ialah Passat R Line dan juga Tiguan Allspace. Kami bawakan kepada anda informasi pantas berkenaan Volkswagen Arteon.

1. Rekaan Luar – Arteon sebenarnya dilahirkan untuk menggantikan sedan premium Volkswagen Passat CC. Berbeza dengan Passat yang menggunakan rekaan konvensional sedan 3 kotak, Arteon tampil dengan rekaan fastback iaitu bahagian bumbung belakang kereta akan bersambung terus dengan bahagian hujung bonet belakang dalam satu garisan lurus menzahirkan rekaan sporty berbanding Passat.

Panjang keseluruhan kereta ini ialah 4862mm, lebar 1871mm dan tinggi 1450mm. Ia lebih panjang, lebar dan rendah berbanding Passat memberikan imej sporti eksekutif. Jarak antara roda pula ialah 2842mm.

2. Rekaan dalaman Arteon mirip dengan Passat, namun beberapa perubahan telah ditambah bagi menjadikannya lebih eksklusif. Kerusi pemandu memiliki tetapan 14 cara pengubahsuaian, fungsi mengurut dan 3 pilihan warna pencahayaan ruang kabin. Pembesar suara dari jenama DYNAUDIO Confidence dengan 11 pembesar suara termasuk 1 subwoofer 700watt turut dipasang pada Arteon

3. Arteon R-Line menampilkan enjin 2000cc Turbo Stratified Injection yang menghasilkan 187 kuasa kuda dan 320Nm tork. Kuasa ini akan digandakan melalui transmisi 7 kelajuan DSG dengan penggunaan klac basah yang lebih tahan lasak. Penggunaan petrol adalah sekitar 16.4km per liter.

Satu lagi varian ialah TSI 4Motion (terma Volkswagen) bagi versi AWD yang menghasilkan 276 kuasa kuda, namun varian ini tidak ditawarkan buat masa sekarang.

4. Cesi yang digunakan oleh Arteon dan Passat adalah sama iaitu cesi MQB yang sangat fleksible. Cesi ini dibangunkan khusus untuk aplikasi kereta dengan enjin dipasang di depan dan pacuan depan. Antara teknologi kawalan cesi yang dibangunkan bersama teknologi kawalan vektor XDS serta sistem Dynamic Chassis Control yang membenarkan pemandu melakukan perubahan pada stering, sistem suspensi serta prestasi enjin

5. Dalam aspek keselamatan, Arteon hadir dengan 7 beg keselamatan udara, sistem ESC yang diintegrasikan dengan XDS, Automatic Post Collision Brake System, Hill Hold Control dan Tyre Pressure Monitoring System.

6. Arteon R Line juga dilengkapi dengan beberapa aksesori tambahan seperti logo R Line pada fender, gril hadapan, spoiler pada bahagian penutup kargo belakang, stering balutan kulit, pedal minyak dan brek dari aloi tahan karat, serta kemasan headliner berwarna hitam

7. Rekaan lampu depan Arteon juga nampak garang dan lengkap dengan teknologi seperti lampu utama dengan teknologi LED, lampu DRL LED, dan Dynamic Light Assist yang akan menyalakan lampu tinggi secara optimum dengan bantuan sensor. Lampu ini tidak akan menyilaukan pemandu dari arah bertentangan

Bagi tujuan keselamatan, lampu depan juga datang dengan ciri Follow Me Home. Lampu di bahagian belakang menggunakan teknologi LED sepenuhnya termasuklah lampu isyarat membelok

8. Ciri premium lain yang ada pada Arteon ialah penutup kargo belakang boleh dibuka dengan menggunakan sensor kaki, kamera 360 darjah bagi memudahkan pemandu memarkir kenderaan, sistem brek automatik ketika parkir, ruang kargo sebesar 536 liter, sistem penyaman udara 3 zon dan sistem Climatronic yang membersihkan udara dari alergen

9. Unit multimedia datang dengan skrin 9.2 inci, menyokong sistem Apple Car Play, Android Auto, menyokong 16 saluran amplifier, paparan meter yang menyokong sistem navigasi, serta arahan suara bagi membantu pemandu memilih lagu kegemaran dan juga mencari navigasi perjalanan

10. Arteon R Line ditawarkan pada harga RM 220, 043 dengan jaminan 5 tahun tanpa mengira perbatuan perjalanan, 3 tahun servis percuma, 5 tahun bantuan kecemasan serta jaminan bateri selama 24 bulan. Harga yang kompetitif ini dicapai dengan memasang Arteon secara CKD di Pekan, Pahang.

Google ads
Back to top button