MOTOSIKAL PELAGAK NGERI MELETUP KETIKA PENGGAMBARAN MISSION IMPOSSIBLE
Penggambaran filem terbaharu Mission Impossible berdepan masalah apabila salah satu babak membabitkan pelagak ngeri menaiki motosikal tidak menjadi sehingga jentera tersebut meletup.
Sequel lakonan Tom Cruise sebagai agen Ethan Hunt ini merupakan salah satu filem termahal di Britain malah mengambil masa selama enam minggu untuk menyiapkan set penggambaran itu.
Difahamkan, sehari sebelum kejadian, pelakon utama, Tom Cruise telah memeriksa set aksi lagak ngeri tersebut. Dia dikatakan berang dengan insiden yang berlaku.
“Ini merupakan cabaran hebat dan memperuntukkan perbelanjaan besar. Berminggu-minggu pembinaan set dilakukan untuk babak ini.
“Apabila tiba hari penggambaran, ia sama sekali tidak menjadi dan berlaku insiden ini,” kata satu sumber.
Menurut sumber itu lagi, babak tersebut melibatkan pelagak ngeri mendarat di atas beberapa bantal besar yang diisi kadbod untuk menahan hentakan kuat sebelum motosikal terbabas beberapa meter dengan selamat.
Katanya, ia tersalah percaturan sehingga mengakibatkan motosikal meletup.
“Geseran tayar dan haba panas mengakibatkan pelapik kadbod terbakar. Bahkan, Lapangan Terbang Royal Air Force (RAF) berdekatakan set penggambaran terpaksa ditutup berikutan asap terlalu tebal.
“Mujur tiada orang yang cedera dalam insiden berkenaan. Ini merupakan bencana besar apatah lagi ia melibatkan perbelanjaan besar. Tom Cruise sangat kecewa dengan insiden ini,” ujarnya lagi.
Sebanyak lima jentera bomba Oxfordshire dan ambulan bergegas ke tempat kejadian.
Sumber dalaman memaklumkan set penggambaran berkenaan ditutup sementara bagi pihak atasan menyiasat punca kejadian. – agensi.