Artikel Pilihan

NANTIKAN KEMUNCULAN BMW M3 TOURING YANG PERTAMA – WAGON POWER

Tak payah cakap banyak lagi dan senang cerita BMW sudah memgesahkan yang mereka akan mengorak langkah mengeluarkan M3 wagon yang pertama dalam sejarah. Kenapa lewat sangat ni? Tapi tak kisahlah, janji ada walaupun lewat.

Menurut pengeluar Jerman itu, BMW M3 Touring baharu itu akan dilancarkan selepas pelancaran M4 Convertible yang sudah ditetapkan untuk tahun hadapan. Ini bermakna M3 Wagon hanya akan muncul di penghujung 2022 (sempat la nak kumpul duit kan?). M3 Sedan serba baharu dan M4 Coupe pula akan dilancarkan secara rasmi September ini.

Satu kenyataan dari BMW menyatakan proses untuk menyiapkan M3 terbaharu sedang rancak dijalankan di Garching berhampiran Munich, tempat asal BMW M GmbH. Lebih istimewa lagi bila ia akan diakhiri dengan BMW M3 Touring.

M3 Touring kini dikatakan sedang dalam pembangunan peringkat awal dengan prototaip pertama dijangka diuji dalam beberapa bulan lagi. Sebelum ini kita pernah menyaksikan model wagon E46 M3 hampir 20 tahun lepas tetapi ia sekadar sebuah model konsep yang tidak pernah memasuki peringkat produksi.

Impian untuk memiliki sebuah M3 wagon memang sudah lama terlintas di kalangan peminat BMW dan juga peminat wagon. Bahkan ada yang melakukan pengubahsuaian versi mereka sendiri lengkap dengan fender lebar dan bumper yang menyerupai M3 sebenar.

Kuasa tentunya datang dari enjin S58 terbaharu yang dihasilkan oleh BMW M Division. Enjin 3.0L straight-six twin-turbo itu mampu menjana 473 hp bagi varian standard (standard M3) dan 503 hp bagi varian Competition.

M3 sedan dan M4 Coupe bakal ditawarkan dengan pacuan belakang dan all-wheel-drive dengan kotak gear manual dan 8-kelajuan automatik cuma buat masa sekarang belum dapat dipastikan sama ada varian Touring akan ditawarkan dengan pilihan yang sama.

Selepas ini mungkin gambar M3 coupe disamarkan dengan pelekat camo yang bertebaran atas talian. Ia juga merupakan jawapan BMW kepada segmen yang sebelum ini dikuasai oleh Audi RS4 dan Mercedes-AMG C63 Estate. Cuma harap-harap sangat la kidney gril di hadapan tu takde melalut sangat. Tolonglah.

Google ads
Back to top button