Buletin

VOLVO CAR MALAYSIA PERKENALKAN SEMULA JAMINAN SEUMUR HIDUP UNTUK ALAT GANTI TULEN

Volvo Car Malaysia terus memperkukuh komitmen terhadap kepuasan pelanggan dan ketulenan produk dengan memperkenalkan semula inisiatif jaminan selepas jualan mereka di bawah nama baharu, Volvo Genuine Parts Extended Warranty.

Program ini menawarkan jaminan seumur hidup tanpa sebarang kos tambahan bagi semua alat ganti tulen Volvo yang dipasang di pusat servis bertauliah Volvo di seluruh negara.

Ia direka khas untuk pelanggan yang kenderaan mereka telah melepasi tempoh jaminan standard, sekaligus menetapkan penanda aras baharu dalam segmen automotif premium tempatan.

Tidak seperti jaminan biasa yang disertakan dengan pembelian kenderaan baharu, program ini memberikan perlindungan menyeluruh termasuk kos buruh bagi pembaikan alat ganti yang layak, selagi pemasangan dilakukan oleh pengedar sah Volvo.

Antara kelebihan utama yang dinikmati pelanggan termasuk:

  • Jaminan seumur hidup terhadap kecacatan bahan atau mutu kerja pada alat ganti tulen Volvo.
  • Kos buruh percuma bagi pembaikan alat ganti yang dilindungi apabila dilakukan di pusat servis bertauliah.
  • Tiada caj tambahan, selain daripada harga asal alat ganti dan pemasangan.

Walau bagaimanapun, jaminan ini tidak meliputi alat ganti seperti barangan borong, aksesori, bateri, bahan pakai habis serta komponen haus dan lusuh.

Bahagian yang dilindungi di bawah program ini boleh diganti berkali-kali tanpa had, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Menariknya, jaminan ini turut meliputi alat ganti tulen Volvo yang telah dibaik pulih (remanufactured) dan dipasang melalui pengedar sah, termasuk alat ganti diganti di luar negara sekiranya kerosakan berlaku di negara yang turut menyertai program ini.

Untuk melayakkan diri dalam program ini, alat ganti perlu dibeli dan dipasang di pusat servis sah Volvo pada atau selepas 1 Oktober 2021 dengan invois sah sebagai bukti pemasangan.

Jaminan seumur hidup ini hanya sah untuk pemilik asal kenderaan dan tidak boleh dipindah milik.

Kenderaan yang tidak diservis di pusat servis Volvo selama lebih dua tahun selepas tamat jaminan standard perlu menjalani pemeriksaan kesihatan (health check) terlebih dahulu bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik dan tidak diubah suai.

Untuk maklumat lanjut atau semakan kelayakan alat ganti di bawah Volvo Genuine Parts Extended Warranty, pelanggan boleh mengunjungi pengedar sah Volvo terdekat atau layari www.volvocars.com/my/l/volvo-genuine-parts-extended-warranty.

Google ads
Back to top button