Buletin

ZEEKR X 2025 DILANCARKAN DI CHINA – JARAK GERAK 530KM, HARGA BERMULA RM102K

Jenama mewah di bawah kumpulan Geely, Zeekr, hari ini memperkenalkan versi terkini model Zeekr X, SUV kompak elektrik yang kini hadir dengan tiga varian baharu.

Harga di pasaran China bermula dari 155,800 yuan (sekitar RM102,000) hingga 175,800 yuan (sekitar RM114,000).

Dari segi reka bentuk, Zeekr X masih mengekalkan gaya elegan dan futuristik dengan lampu utama LED matriks pintar yang disepadukan kemas ke bahagian gril hadapan.

Dimensi keseluruhan model ini berukuran 4,450mm panjang, 1,836mm lebar, dan 1,572mm tinggi, dengan jarak antara roda 2,750mm.

Enam pilihan warna menarik turut ditawarkan, termasuk Paris Brown Rice, Su Mo Grey, Oslo Black, California Pink, Hangzhou Green dan Seattle Green.

Bahagian kabin tampil dengan suasana moden minimalis, diserlahkan oleh paparan pintar 14.6-inci yang boleh bergerak secara elektrik merentasi papan pemuka sejauh 353mm.

Skrin ini boleh digerakkan ke sisi penumpang dengan satu isyarat tangan, menjadikannya serba guna untuk navigasi pemandu atau hiburan penumpang.

Antara kelengkapan lain ialah pad pengecas tanpa wayar 50W, peti sarung tangan dengan kunci elektronik, ruang simpanan 6.6 liter, serta penyejuk mini 5.7 liter di konsol tengah yang boleh menyejukkan antara -6°C hingga 20°C atau memanaskan sehingga 50°C.

Dari segi prestasi, Zeekr X benar-benar mencabar segmen SUV kompak dengan kuasa puncak 489hp dan tork maksimum 573Nm, membolehkan pecutan 0–100 km/j hanya dalam 3.69 saat.

Dua pilihan bateri disediakan — 61kWh Energee dan 66kWh CATL, dengan jarak pemanduan (CLTC) masing-masing sehingga 530km dan 512km.

Sistem pacuan semua roda pintar (AWD) digabungkan dengan XTCS intelligent anti-skid system dan brek empat omboh Akebono, memberikan kawalan dan keselamatan optimum. Turut dilengkapkan ialah sistem Zeekr AD, menawarkan pemanduan separa autonomi dan cruise control aktif penuh kelajuan.

Dengan gabungan kuasa, teknologi, dan reka bentuk yang berani, Zeekr X baharu ini jelas membuktikan aspirasi Geely untuk menjadikan jenama Zeekr sebagai pesaing utama dalam pasaran SUV elektrik global.

Google ads
Back to top button